Amalan 10 Malam Ramadan Yang Perlu Diteruskan
KITA sudah pun memasuki 10 hari terakhir sebelum bulan Ramadan melabuhkan tirai. Sebelum Ramadan meninggalkan kita, apa kata gunakan masa yang ada sebaiknya untuk melakukan amal ibadah agar hari-hari terakhir ini tidak disiakan.
Tambahan pula ketika fasa ketiga bulan Ramadan terdapat satu malam yang begitu istimewa dipanggil sebagai lailatulqadar yang disifatkan lebih baik daripada 1,000 bulan.
Dalam sebuah hadis daripada Aisyah RA, beliau berkata: “Nabi Muhammad SAW apabila masuknya 10 hari terakhir (bulan Ramadan), Baginda akan mengetatkan ikatan di pinggangnya, Baginda menghidupkan malam harinya dan Baginda membangunkan ahli keluarganya (untuk beribadah).” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Merujuk kepada laman web Maktabah Albakri, terdapat beberapa amalan yang boleh dilakukan sepanjang 10 malam terakhir Ramadan seperti berikut:
Qiyam
Maksud qiyam adalah menghidupkan malam hari pada bulan Ramadan dengan beribadah kepada Allah SWT. Antara amal ibadah yang boleh dilakukan termasuklah menunaikan solat sunat tarawih baik secara berjemaah atau bersendirian. Dalam masa sama, lebih baik andainya kita menggandakan usaha masing-masing dengan mengerjakan solat sunat sekurang-kurangnya dua rakaat sebelum sahur dan dua rakaat sebelum fajar.
Memperbanyakkan bacaan Al-Quran
Amalan membaca Al-Quran pahalanya dilipatgandakan oleh Allah SWT. Pada masa sama, semua amal kebajikan pada bulan Ramadan turut dilipatgandakan oleh-Nya.
Sedekah dan infak
Daripada Ibnu Abbas RA, katanya: “Nabi Muhammad SAW ialah manusia yang paling pemurah. Kemuncak sifat pemurahnya di bulan Ramadan, ketika Jibril bertemu dengan Baginda SAW. Adapun Jibril AS menemuinya pada setiap malam bulan Ramadan dan saling bertadarus al-Quran dengan Baginda. Sesungguhnya Rasulullah SAW sangat pemurah dalam hal kebaikan daripada angin yang bertiup kencang.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Melihat kepada hadis itu, Rasulullah SAw banyak bersedekah pada bulan Ramadan, sekali gus menunjukkan bahawa amalan itu terdapat kelebihannya tersendiri.
Iktikaf
Daripada Ibnu Umar RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW biasa beriktikaf pada 10 hari terakhir bulan Ramadan.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari). Menurut Imam An-Nawawi, hukum beriktikaf ialah sunat muakkad dan ia disunatkan pada keseluruhan waktu, manakala pada 10 hari terakhir bulan Ramadan, amalan itu lebih dituntut.
Memberi makan kepada orang berbuka
Galakan untuk memberi makan kepada orang yang berpuasa itu merupakan perkara yang thabit daripada hadis Nabi Muhammad SAW. Baginda SAW bersabda: “Siapa yang menyediakan makanan berbuka buat orang yang berpuasa, maka dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan tidak dikurangkan sedikit pun daripada pahala orang yang berpuasa itu.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Sumber: Sinar Harian