Trending

Adriana Adnan Minta Peniaga Pasar Malam Jangan Lokek Senyuman

Selebriti, Adriana Adnan, 31, tampil menjelaskan situasi sebenar selepas menerima kecaman hebat susulan perkongsiannya mengenai layanan dingin segelintir peniaga pasar malam, sambil menegaskan teguran itu sama sekali tidak bertujuan menghina mana-mana pihak.

Menurut Adriana, dia juga tidak menyangka video lama yang dikongsikan sebelum ini tiba-tiba kembali tular sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

“Saya sendiri tak sangka perkara itu tiba-tiba meletup. Video itu sudah lama. Saya cuma berkongsi pengalaman di satu bazar. Bila masuk, suasana memang sibuk, tetapi layanan terasa agak dingin.

“Bukan minta dilayan bagai nak rak, cukup sekadar senyuman atau cara bercakap lembut. Kita datang sebagai pelanggan, bukannya mahu menyusahkan sesiapa,” katanya.

Aktres itu berpandangan adab asas ketika berurusan memainkan peranan penting dalam memberi keselesaan kepada pelanggan, meskipun hanya melalui interaksi ringkas.

“Senyum itu sedekah. Kita datang mahu membeli, secara tidak langsung mahu memberi rezeki kepada peniaga.

“Kadang-kadang cara menjawab membuatkan pelanggan rasa seperti dimarahi, sedangkan baru pertama kali berjumpa. Itu membuatkan kita jadi serba salah,” luahnya.

Bagaimanapun, Adriana mengakui cuba memahami situasi peniaga yang berdepan tekanan, terutama ketika waktu puncak apabila pelanggan terlalu ramai dan barisan panjang.

“Saya faham ada peniaga sangat penat atau terlalu sibuk sampai tak sempat melayan dengan mesra.

“Tetapi mungkin kita boleh ingatkan diri sendiri untuk senyum walaupun sekejap. Layanan baik itu sebenarnya memudahkan urusan kedua-dua pihak,” katanya lagi.

Tidak pernah menuntut layanan istimewa, Adriana menjelaskan maksud sebenar perkongsiannya adalah untuk menyuarakan perasaan pelanggan yang mudah berasa tidak selesa apabila berdepan layanan terlalu dingin.

“Kadang-kadang kita sendiri jadi terlebih fikir. Bila peniaga nampak masam sambil bertanya ‘nak apa?’, kita pula tertanya-tanya sama ada boleh beli atau tidak.

“Sebab itu saya kata, tak perlu lebih-lebih. Senyum sahaja pun sudah cukup buat pelanggan rasa dialu-alukan,” ungkapnya.

Bagi yang mengikuti akaun media sosial miliknya pasti tahu dia mempunyai program sendiri menjelajah ke pasar malam dalam misi mencari makanan sedap dan unik.

Menariknya, sepanjang Ramadan ini wanita itu bekerjasama dengan syarikat penerbangan AirAsia menjelajah ke beberapa destinasi menarik bagi meneruskan program ‘Adriana Cari Makan’.

Dia menjelajah ke beberapa lokasi termasuklah Sabah, Sarawak, Wilayah Persektuan Labuan dan Kedah selain ke Brunei dan Banjarmasin, Indonesia.

Related Articles

Back to top button