Viral

Wanita Ini Putuskan Hubungan Cinta Sebab Teman Lelaki Memandu Di Lorong Kecemasan

Lorong kecemasan direka dan diperuntukkan khas hanya untuk kenderaan kecemasan seperti ambulans dan jentera bomba supaya pasukan penyelamat dapat tiba ke destinasi tepat pada masanya.

Malangnya, terdapat segelintir pemandu yang menyalahgunakannya untuk mengelak kesesakan lalu lintas. Tindakan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh menjejaskan masa berharga yang diperlukan oleh pasukan penyelamat untuk menangani kecemasan.

Dalam satu pengakuan tanpa nama yang dikongsikan di laman Facebook XUAN, seorang wanita mendedahkan, ketika mula mengenali teman lelakinya, dia menyedari lelaki itu kerap meletakkan kenderaan di petak parkir OKU dan perkara tersebut sering menjadi punca pertengkaran antara mereka.

Teman lelakinya cuba mempertahankan tindakannya dengan alasan jika dia tidak meletakkan kereta di situ, orang lain tetap akan melakukannya.

“Kami tidak bertegur sapa selama seminggu kerana isu itu. Saya hanya memaafkannya selepas dia berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Tetapi saya tidak pasti sama ada dia masih melakukannya ketika saya tiada.

“Dia bukan seorang yang tidak berpendidikan. Malah dia seorang graduan universiti dan memandu Volvo. Sejujurnya, insiden parkir OKU itu sangat memalukan saya,” tulisnya.

Wanita itu kemudian menambah, ketika sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, dia bersama teman lelakinya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dan mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di Gopeng.

Bagi mengelak kesesakan, teman lelakinya itu bertindak memandu di lorong kecemasan walaupun dia berkali-kali mengingatkan agar tidak berbuat demikian.

“Saya beritahu dia menggunakan lorong kecemasan boleh meragut nyawa seseorang, tetapi dia tidak mahu mendengar. Dia kata, memandangkan semua orang lain turut menggunakannya, adalah bodoh jika dia tidak berbuat perkara yang sama.

“Dia juga berkata, kalau ditahan, dia akan beritahu yang dia tidak tahu itu lorong kecemasan,” kongsi wanita itu lagi.

Kecewa dengan sikap mementingkan diri teman lelakinya, wanita berkenaan menghabiskan sepanjang malam memikirkan perkara tersebut sebelum membuat keputusan untuk berpisah.

“Saya tidak mahu menghabiskan masa depan saya dengan seseorang yang memandu di lorong kecemasan dan membahayakan nyawa orang lain.

“Walaupun dia kata saya terlalu cerewet dan berlagak suci, apa yang dia tidak tahu ialah saya sebenarnya pernah kehilangan seorang rakan akibat perbuatan seseorang yang menyalahgunakan lorong kecemasan,” katanya.

Related Articles

Back to top button