Wanita Ini Menyesal Belanja RM109 Untuk Makanan Berbuka Puasa

Sejak bermulanya bulan Ramadan, bazar yang menjual pelbagai juadah dan minuman untuk umat Islam berbuka puasa juga mula tumbuh dengan rancak di seluruh negara.
Namun, kemeriahan bazar Ramadan turut disusuli dengan lambakan aduan, apabila ramai pengguna meluahkan rasa kecewa terhadap makanan yang rosak atau dijual pada harga yang terlalu mahal.
Dalam satu hantaran di Threads, seorang wanita meluahkan rasa kesal selepas terpaksa membayar jumlah yang agak tinggi untuk membeli tiga jenis makanan di sebuah bazar Ramadan.
Berdasarkan resit yang dikongsikan, dia membeli, 100 gram daging brisket berharga RM28.50, 100 gram tulang rusuk belakang lembu (RM56.05) dan Mac & cheese bersama pulled lamb (RM25). Jumlah keseluruhan pembelian tersebut mencecah RM109.
Perkara itu membuatkan wanita berkenaan terkejut dan dia tertanya-tanya sama ada wang yang dibelanjakan itu benar-benar berbaloi.

“Rasa membazir sangat dan saya habiskan RM109 untuk semua ini. Tak sangka jumlahnya jadi sebanyak itu selepas ambil makanan-makanan tersebut.
“Saya rasa bodoh sejurus selepas membuat bayaran. Lepas ini saya lebih rela makan di restoran sahaja berbanding beli di bazar,” tulisnya.
Di ruangan komen, ada netizen bersetuju yang harga tersebut terlalu mahal dan berpendapat wanita itu sepatutnya memilih bufet Ramadan yang mungkin lebih berbaloi.
Namun begitu, ada juga yang berpandangan bahawa wanita tersebut sepatutnya sudah menjangkakan harga yang tinggi memandangkan dia memilih hidangan yang dianggap sebagai premium, yang sememangnya dijual pada harga lebih mahal.



