Senandung Ria Di Kuala Lumpur Bawa Kelainan, ‘Vibe’ Klasik Jadi Taruhan

Klasik namun segar, itu gambaran sebahagian besar peminat tatkala pihak penganjur mengumumkan bakal mengadakan konsert Senandung Ria Di Kuala Lumpur sedikit masa lagi.
Pastinya sebahagian besar peminat retro dan pop jazz sudah tidak sabar menantikan persembahan White Shoes & The Couples Company dan NonaRia pada yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 10 Mei hadapan.
Kedua-dua kumpulan popular Indonesia ini bakal memberikan pengalaman muzikal sinematik, mengangkat tema istimewa yang mengajak penonton mengembara ke suasana klasik penuh emosi, warna dan keanggunan estetika.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ZS Entertainment dan LampuNeon Entertainment yang bertindak selaku penganjur konsert ini, mereka optimis peminat ternanti-nanti gandingan mantap daripada kedua-dua band ini.
“Tema utama konsert ini adalah nostalgia, keceriaan dan romantika bandar yang mengangkat keindahan muzik retro, jazz-pop ringan dan elemen sinematik. Kami mahu penonton merasai pengalaman yang membawa mereka kembali ke suasana klasik yang penuh emosi dan warna.
“Kami mahu penonton merasai keindahan setiap melodi dan lirik dan sejenak melupakan kesibukan harian dan hanyut dalam perjalanan emosi bersama muzik,” jelas kenyataan itu.

Gabungan kedua-dua mereka dipilih kerana keserasian identiti muzik yang jarang dipertemukan. Kedua-dua kumpulan berakar pada estetika klasik, penceritaan lagu dan persembahan yang berjiwa.
White Shoes & The Couples Company terkenal dengan susunan muzik sinematik dan sofistikated, manakala NonaRia pula memikat dengan gaya ceria, feminin serta bersahaja mereka.
“Kedua-dua kumpulan ini berkongsi DNA muzik yang seiring, berakar pada bunyi retro, pop klasik dan naratif romantik. Gabungan ini jarang dipersembahkan dan menjadikan konsert ini sesuatu yang unik dan eksklusif.
“Apa yang menjadikan mereka istimewa adalah keupayaan mencipta suasana persembahan yang intim dan juga dekat dengan penonton, walaupun berada di pentas yang berskala besar,” tambah pengajur.

Konsert ini dianggap sebagai salah satu penampilan paling signifikan kedua-dua kumpulan di Malaysia dengan konsep produksi penuh.
Elemen eksklusif termasuk susunan muzik khas hanya di Kuala Lumpur, visual berkonsepkan retro-sinematik, aliran persembahan yang penuh cerita, serta kemungkinan kolaborasi spontan di atas pentas.
“Kami teruja untuk melihat reaksi penonton terhadap persembahan ini. Setiap susunan muzik, visual dan detik pentas telah dirancang untuk memberi pengalaman yang unik dan tidak dapat dilupakan.
“Ini lebih daripada sekadar konsert, ia adalah satu perjalanan emosi bagi penonton,” kata pihak penganjur.
Tiket-tiket untuk menyaksikan konsert Senandung Ria Di Kuala Lumpur boleh didapati menerusi www.ticketempire.com.



