
Tiga budak lelaki warga Thailand berusia antara sembilan hingga 15 tahun ditahan selepas didakwa cuba membakar seorang lelaki gelandangan berusia 51 tahun dan merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbit di Bangkok.
Lelaki berkenaan berjaya menyelamatkan diri daripada kebakaran tersebut.
Menurut Thaiger, lelaki berusia 51 tahun itu, dikenali sebagai Karn, tinggal di bawah Jambatan Ban Ma di daerah Prawet, Bangkok, dan mencari rezeki dengan mengutip serta menjual barangan lusuh.
Pada 19 Januari lalu, ketika dia sedang tidur di bawah jambatan, Karn berkata dia merasakan sesuatu yang sejuk dicurahkan ke atas badannya. Beberapa saat kemudian, api tiba-tiba marak. Sungguhpun sempat melarikan diri daripada kebakaran itu, dia tetap mengalami kecederaan, lapor Thaiger.
Ketika melarikan diri, Karn berkata dia ternampak tiga budak lelaki sedang merakam kejadian itu menggunakan telefon mereka.
Menurut Karn, dia pernah mempunyai masalah dengan budak-budak tersebut sebelum ini, termasuk dibaling batu dan dimaki hamun oleh mereka.
Walaupun begitu, Karn berkata dia tidak pernah menegur mereka dan sentiasa mengelakkan sebarang konflik.
Menurut media tempatan, rakaman CCTV menunjukkan tiga budak lelaki itu menghampiri Karn di bawah jambatan. Dua daripada mereka kelihatan memakai topi keledar motosikal.
Selepas api marak, ketiga-tiga mereka dilihat melarikan diri dari tempat kejadian.
Mereka kemudiannya kembali ke lokasi kejadian dan dilihat berdiri berhampiran kebakaran tersebut.
Kebakaran itu turut merosakkan paip air awam berhampiran.
Polis tempatan kini telah mengenal pasti ketiga-tiga budak lelaki tersebut dan sedang mempertimbangkan untuk mendakwa mereka atas cubaan membunuh serta merosakkan harta awam.



