BeritaViral

Linda Hashim Kecewa Dengan Beego, Dakwa Sengaja Lambatkan Proses Cerai

Pelakon, Linda Hashim mendakwa suaminya, Beego sengaja melambatkan kes berhubung prosiding lafaz taklik melibatkan mereka sehingga terpaksa ditangguhkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan ke satu tarikh baharu pada Februari depan.

Pemilik nama sebenar Norhazlinda Hashim meluahkan kekecewaan terhadap tindakan Beego yang didakwa sengaja melengahkan kes berkenaan, selain kecewa dengan keputusan mahkamah yang membenarkan aktor itu membela diri.

Menurut Linda, kekecewaannya bukan kerana tidak diceraikan, sebaliknya berpunca daripada sikap suaminya yang disifatkan sengaja memanjangkan proses perbicaraan.

“Saya bukan kecewa sebab tak diceraikan, tetapi kecewa kerana dia sengaja melambatkan proses ini. Sebagai isteri, saya tahu bila seseorang itu benar-benar ikhlas atau sebaliknya,” katanya.

Linda turut mendakwa alasan kononnya masih sayang tidak selari dengan apa yang dirasainya sebagai isteri, malah beranggapan perasaan tulus lebih jelas ditunjukkan oleh ahli keluarga dan rakan terdekat berbanding suaminya sendiri.

Sementara itu, peguam yang mewakili Linda, Nurul Fadzilah Kamaluddin, memaklumkan pihak plaintif telah memberikan kerjasama sepenuhnya dan mematuhi semua prosedur yang ditetapkan mahkamah, namun berdepan kesukaran daripada pihak defenden.

Menurutnya, serahan saman dan penyata tuntutan telah dibuat lebih awal, namun respon yang diterima adalah negatif, menyebabkan beberapa perkara terpaksa diserahkan semula pada hari prosiding.

“Peguam yang sepatutnya mewakili pihak defenden belum berwakalah secara rasmi, menyebabkan beliau hadir tanpa wakil. Selepas itu, dimaklumkan pihak defenden ingin melantik peguam yang sama dan mahkamah membenarkan satu tarikh baharu pada 9 Februari bagi tujuan pembelaan,” katanya.

Untuk rekod, rumah tangga Linda dan Beego atau nama sebenar Mohamad Aszerul Nizam Abdullah mula menjadi perhatian sejak Januari tahun lalu apabila Linda memfailkan perceraian atas alasan tiada persefahaman.

Pasangan itu pernah bercerai pada 27 Mac 2023 sebelum rujuk semula pada 9 April 2023 dan membatalkan tuntutan nafkah serta hak penjagaan tiga anak mereka.

Bagaimanapun, Linda mendakwa mereka sekali lagi bercerai selepas beberapa bulan rujuk, namun kembali bersama tidak lama kemudian.

Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6 tahun.

Related Articles

Back to top button