BeritaGaya Hidup

Pablo Amirul, Dr Hana Rose Nikah 2 Februari

Pelakon, Pablo Amirul, 41, berkongsi khabar gembira apabila mendedahkan bakal mendirikan rumah tangga dengan kekasih hatinya, Dr. Hana Rose, pada 2 Februari ini.

Pemilik nama sebenar Amirul Hisyam Mohd. Sakri berkata, dia kini menghitung hari untuk memulakan lembaran baharu dalam kehidupan bersama wanita pilihannya itu.

“Menghitung hari! Maha suci Allah atas segala ketetapan yang hanya milik-Nya. Maut, rezeki dan jodoh, walau dirancang sehebat mana pun, tetap Allah SWT yang menentukannya.

“Usaha, tawakal, doa, ibadah dan kebaikan adalah kesetiaan seorang hamba kepada-Nya.

“Kepada wanita yang akan menghabiskan hidup bersamaku, terima kasih kerana mencintai dan kita memilih untuk mencipta satu lagi bab baharu dalam hidup,” tulisnya dalam sebuah hantaran.

Dalam video pendek berkonsepkan hitam putih yang dikongsikan di Instagram, Pablo tampil segak mengenakan sut, manakala Hana Rose kelihatan anggun menggayakan busana pernikahan lengkap dengan layah panjang.

Menerusi perkongsian sama, Pablo itu turut memetik ayat daripada Surah Ar-Rum ayat 21 yang menyentuh tentang kasih sayang dan ketenangan dalam ikatan perkahwinan.

Terdahulu, pada April tahun lalu, Pablo pernah memaklumkan hubungannya yang semakin akrab bersama pakar estetik berkenaan, selain mengesahkan mereka menerima restu keluarga.

Related Articles

Back to top button