Nasha Aziz Perlahan Kerjaya Seni, Ambil Masa Pulihkan Emosi Selepas Pemergian Ibu

Terkesan dengan pemergian arwah ibu tercinta pada Mac tahun lalu, pelakon, Nasha Aziz, 55, mengambil keputusan untuk memperlahankan langkah dalam dunia lakonan.
Menurut pemilik nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz, peristiwa itu meninggalkan kesan emosi yang mendalam sehingga dia memilih untuk memberi ruang kepada diri sendiri sebelum kembali aktif di set penggambaran.
Katanya, keinginan untuk kembali berlakon itu tetap ada, namun buat masa ini masih berada dalam fasa menenangkan diri selepas kehilangan insan-insan terdekat dalam hidupnya.
“Sudah tentu saya mahu kembali berlakon, tetapi sekarang ini saya sedang melalui fasa ‘cooling session’ selepas ibu meninggal dunia tahun lalu.
“Ramai orang yang dekat dengan saya juga telah pergi buat selamanya, jadi saya ambil masa untuk bertenang terlebih dahulu,” katanya.
Kemunculan terakhir Nasha di layar perak adalah menerusi filem Talbis Iblis yang ditayangkan pada tahun 2022.
Jelasnya, keputusan untuk berehat seketika bukan disebabkan ketiadaan tawaran, sebaliknya kebanyakan watak yang ditawarkan menuntut komitmen emosi yang tinggi.
“Kebanyakan tawaran yang datang memerlukan emosi yang berat. Jadi saya memilih untuk memperlahankan sedikit perjalanan kerjaya lakonan saya. Buat masa ini, Talbis Iblis adalah filem terakhir lakonan saya,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Nasha turut memaklumkan dia kini lebih berhati-hati dan selektif dalam memilih naskhah yang ditawarkan agar selari dengan keadaan emosinya.
“Saya ada menerima tawaran daripada pengarah berbeza, namun kebanyakannya dalam genre seram.
“Saya sedar genre seperti itu memerlukan tenaga fizikal dan mental yang besar. Saya akan kembali berlakon, cuma lebih selektif memilih naskhah mengikut fasa kehidupan saya sekarang,” jelasnya.



