
Pempengaruh Bryan Wee mengumumkan yang dia tidak lagi akan menghasilkan kandungan menggunakan persona wanitanya, Bai En.
Wee, yang hidup sebagai Bai En selama lima tahun, mengumumkan keputusan tersebut menerusi sebuah video TikTok yang dimuat naik pada 1 Januari 2026.
Sebagai sebahagian daripada persona wanitanya, Wee memanjangkan rambut, memakai solekan serta mengenakan pakaian dan gaun wanita.
Sepanjang tempoh tersebut, Wee juga terpalit dengan beberapa kontroversi dan kritikan, termasuk insiden pada Mei 2025 apabila dia memuat naik video memasuki tandas wanita di sebuah lapangan terbang.
Wee memulakan videonya dengan bertanya kepada penonton dalam bahasa Mandarin sama ada mereka berpendapat dia kelihatan cantik memakai gaun pengantin.
Dia menjelaskan yang itu merupakan kali terakhir dia mengenakan gaun tersebut sebelum memotong rambutnya di hadapan kamera.
Wee kemudian mengumumkan bahawa dia tidak lagi mahu menjadi seorang wanita atau pempengaruh media sosial.
“Saya mahu menjadi seorang lelaki semula. Sepanjang beberapa tahun ini, saya seronok (membawakan persona wanita saya). Saya pernah merasai pengalaman menjadi wanita, memakai pakaian feminin dan memanjangkan rambut. Semua ini adalah pengalaman yang saya tidak sesali,” katanya.
Menurut Wee, keinginannya untuk kembali menjadi lelaki adalah kerana itulah yang paling diinginkannya ketika ini.
Dia turut berkongsi bahawa rambut yang dipotong itu akan disimpan sebagai kenangan.
Dalam kapsyen video tersebut, Wee menulis sepucuk surat perpisahan kepada Bai En,
“Pada saat ini, saya rasa dunia saya menjadi lebih ringan. Saya merasakan segalanya semakin baik. Lima tahun kebelakangan ini, saya benar-benar gembira. Namun, tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada segalanya. Selepas ini, saya ingin mencuba sesuatu yang benar-benar baharu dan saya harap semua orang dapat menyokong saya.
“Saya ingin berterima kasih kepada gadis itu yang telah menemani saya selama lima tahun. Dia sangat berani dan saya sangat menyayanginya. Namun, saya tidak mahu dia terus disakiti dan dibuli oleh dunia ini. Saya akan melindunginya. Jika tiada siapa menyayanginya, saya ada,” tulis Wee lagi.
Kemudian dalam video yang sama, Wee kembali ke hadapan kamera dengan rambut pendek dan mengenakan sut putih.
“Apa pun yang saya lakukan sebelum ini, sama ada baik atau buruk, mari kita lupakan semuanya pada tahun baharu ini.
“Kita semua belajar perkara baharu apabila semakin meningkat usia, dan saya sedang belajar untuk menjadi seorang yang lebih baik dan lebih cemerlang,” tambahnya.
Wee menutup videonya dengan janji bahawa dia tidak akan lagi berpakaian feminin demi meraih tontonan. Dia memohon sokongan penonton dan berkata walaupun persona baharunya mungkin kurang menonjol, ia tidak akan mengecewakan.



