
Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai dakwaan penutupan secara senyap cawangan Darsa Fried Chicken (DFC) di Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor.
Sejak itu, pelbagai spekulasi timbul mengenai penutupan cawangan berkenaan. Ramai pihak mengaitkannya dengan pendirian restoran tersebut yang menekankan konsep 100 peratus milik Bumiputera.
Susulan khabar angin yang tular, pengasas DFC, Muhd Zainul Asro Mohd Romli tampil bagi menjelaskan situasi sebenar.
Dalam satu hantaran Facebook, Zainul berkata, dia mengakui sedih mendengar berita penutupan cawangan tersebut. Selain itu, dia turut mendedahkan yang dia tidak lagi mempunyai sebarang kuasa dalam hala tuju syarikat sejak Julai 2025.
Katanya, sebarang insiden yang berlaku selepas tempoh tersebut bukan lagi di bawah seliaannya, dan berjanji akan menjelaskan perkara itu dengan lebih terperinci pada masa akan datang.
Berkenaan dakwaan penutupan cawangan DFC di Bangi berpunca daripada sentimen perkauman, Zainul menegaskan perkara itu tidak benar, sambil menyifatkan punca sebenar sebagai jauh lebih kompleks.
“Secara peribadi, saya menolak keras penggunaan sentimen perkauman sebagai asas perniagaan kerana ia bercanggah dengan prinsip saya sebagai seorang Muslim dan rakyat Malaysia.
“Saya mempunyai rakan-rakan berbangsa Cina dan India yang sentiasa menyokong saya dan DFC, termasuk ketika isu (Type C) berada di kemuncaknya.
“Mereka memahami bahawa kesilapan individu di bawah seliaan tidak mewakili pendirian keseluruhan organisasi,” tulisnya.
Zainul turut memohon maaf sekali lagi atas kontroversi komen ‘Type C’ yang ditinggalkan oleh seorang pentadbir akaun Facebook restoran berkenaan lebih setahun lalu.
“Kepada rakyat Malaysia yang masih marah, saya ingin sekali lagi memohon maaf atas sikap cuai admin saya ketika itu. Harap maklum bahawa pengajaran telah diambil daripada insiden tersebut dan ia tidak pernah berulang sejak itu.
“DFC dibina dengan niat untuk menyediakan laluan ekonomi kepada tempat saya menimba ilmu, dan saya tidak pernah melupakan tujuan asal tersebut,” katanya lagi.
Sebelum mengakhiri tulisan, Zainul turut menegaskan bahawa sejarah telah membuktikan banyak syarikat runtuh bukan kerana faktor bangsa atau agama, sebaliknya disebabkan masalah pengurusan, isu kewangan, konflik dalaman dan tekanan operasi.



