Lalui Perjalanan Panjang, Malik Choo Harap Tuah Move On

Lalui Perjalanan Panjang, Malik Choo Harap Tuah Move On

Sukar sebenarnya mahu mencari karya yang benar-benar kena dengan jiwa sendiri dan khalayak pada umumnya dan proses tersebut biasanya disandarkan pada mutu dan tuah seperti mana yang diharapkan ramai penyanyi.

Bagi penyanyi yang kini dikenali dengan nama Malik Choo, melancarkan lagu Move On merupakan antara agenda penting sementelah lelaki ini mengharapkan tuah 2026 ikut bersamanya nanti.

Direalisasikan oleh SVLTAN Management dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia, Move On begitu istimewa dan mendapat reaksi positif daripada dalam kalangan peminat yang pertama kali mendengarkannya.

Lagu ini merupakan sebuah karya rap pop dengan sentuhan R&B yang menandakan peralihan identiti dan evolusi kreatif Malik sebagai artis serba boleh yang semakin mendapat perhatian dalam arus muzik kontemporari Malaysia.

Dicipta dan diterbitkan oleh Mas Dewangga, Jova Devito dan Kidd Santhe, serta ditulis oleh Altimet a.k.a Mambang, Move On hadir sebagai sebuah single moden yang menggabungkan kejujuran emosi, produksi yang mantap, serta mesej motivasi yang mengajak pendengar untuk melangkah ke depan.

Malik memulakan kerjaya muziknya pada 2009 sebagai DJ Kino, di mana beliau mempelajari asas memahami audiens, membaca tenaga penonton dan mengawal suasana persembahan, semua elemen yang kini membentuk DNA artistiknya.

Secara beransur-ansur, Malik mula membuat persembahan, kolaborasi dan akhirnya mengeluarkan single sendiri. Perjalanan seninya juga merangkumi beberapa kolaborasi penting sepanjang kerjayanya, termasuk Kita Jaga Kita bersama Altimet, sebuah hit yang berjaya meraih lebih 10 juta tontonan di YouTube.

Manakala Lelaki Di Telefon bersama Afieq Shazwan pula berjaya mengumpul 12 juta tontonan, serta Ralit bersama Tuju, sebuah lagu yang mendapat sambutan hangat sekali gus memperluaskan pengaruhnya di khalayak umum.

Malik (dua dari kanan) ketika pelancaran Move On baru-baru ini.

“Ia merupakan perjalanan panjang langkah demi langkah, penuh dengan usaha dan pengorbanan, dan saya bersyukur dengan setiap pengalaman itu,” kongsi Malik yang fasih dalam tiga bahasa utama terdiri daripada Kantonis, Melayu dan Inggeris sekaligus.

Move On merupakan single ketiga Malik bersama SVLTAN Management selepas single Suka Kamu dan Apa Saja, menampilkan sisinya yang lebih matang, dengan pendekatan berani dan reflektif.

Lagu ini merupakan manifesto muzikal Malik untuk menghadapi kehidupan dengan keberanian. Lagu ini menekankan pentingnya melepaskan perkara yang membebankan, membangkitkan tenaga positif dan menggalakkan pendengar untuk melangkah ke depan dengan penuh keyakinan.

“Move On lahir pada satu fasa dalam hidup saya ketika saya belajar melepaskan perkara yang tidak lagi memberi nilai. Ada sedikit sentuhan peribadi, tetapi pada dasarnya ia mewakili perasaan yang mungkin semua orang pernah rasa, disaat kita melepaskan sesuatu dan mula hidup dengan hati yang lebih ringan,” jelas Malik.

Lagu bernuansa hip-hop dalam paduan pop dengan elemen K-pop yang tidak terlalu berat, mendapat sentuhan oleh Mambang, nama pena kepada pengkarya senior industri muzik, Altimet, yang bertanggungjawab mencungkil bakat Malik dan turut menjadi mentornya.

Kerjasama ini merupakan penyatuan visi, pengalaman dan paduan kreatif yang mencorakkan emosi lagu. 

“Proses bermula dengan pendekatan ‘go with the flow’. Saya fokus pada struktur dan penyampaian setiap bahagian supaya lancar dan penuh emosi. Tujuan utama adalah untuk menjadikan lagu ini ringan didengar tetapi tetap menyentuh hati,” tambah Malik.

Single “Move On” merupakan sebahagian daripada projek di bawah DKK Industri Muzik (Dana Kebolehpasaran Domestik 2.0) yang disokong oleh MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM)

Malik berharap lagu Move On dapat menjadi teman dan motivasi bagi mereka yang sedang menghadapi perubahan hidup. 

“Selepas ini, saya merancang untuk mengeluarkan lebih banyak muzik, fokus kepada persembahan secara langsung, dan terus membina dunia muzik saya, langkah demi langkah, merendah diri tetapi penuh keyakinan,” akhirinya.

Menutup 2025, SVLTAN Management dalam perancangan menganjurkan sebuah ‘mini showcase’ eksklusif, menampilkan persembahan koreografi dan muzik yang tersusun, serta sesi bersama rakan industri dan media, menandakan fasa baharu dalam perjalanan muzik Malik Choo.

Related post

Leave a Reply