“Saya Harap Rumah Tangga Ini Kekal Hingga Jannah”
Primadona, Erra Fazira, 51, mendedahkan keputusan untuk kembali bergelar isteri dibuat atas dasar keikhlasan dan ketakwaan, bukan kerana mengharapkan tempat bergantung.
Menurut pemilik nama sebenar Fazira Wan Chek, selepas 11 tahun hidup solo sebagai ibu tunggal, dia sendiri melalui proses panjang untuk meyakinkan diri sama ada perkahwinan ketiganya ini adalah langkah yang tepat.
“Sebagai ibu tunggal, saya sangat faham rasa takut dan serik yang dialami ramai wanita. Secara jujur, saya pun berkali-kali bertanya pada diri sendiri, adakah saya benar-benar sudah bersedia.
“Nak kata saya tiada trauma, tidak juga, mungkin 40 peratus saya mengaku masih ada rasa itu. Sebelum menerima lamaran pun saya fikir banyak kali.
“Bahkan hingga ke saat-saat akhir sebelum akad, saya masih bertanya kepada orang sekeliling, betul ke aku nak kahwin ini?
“Saya tidak sangka akan mendirikan rumah tangga sekali lagi dan saya harap rumah tangga ini berkekalan hingga ke jannah,” katanya.
Namun, jelas Erra, semuanya kembali kepada niat. Dia menyerahkan keputusan ini sepenuhnya kepada Allah dan berdoa agar perkahwinannya diberkati.
“Kalau niat kita baik, insya-Allah Allah permudahkan. Saya berkahwin kerana-Nya, bukan sebab nak ada orang jaga. Itu belum tentu,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai limpahan doa dan sokongan daripada seluruh peminat termasuk rakan artis, Erra tidak dapat menahan sebak.
“Setiap kali menyentuh soal ini, hati saya mudah tersentuh. Saya bersyukur kerana menerima begitu banyak kasih sayang daripada semua.
“Walaupun keluarga saya kecil, saya rasa dikelilingi ramai yang menyayangi. Saya bukan manusia sempurna, tetapi saya hargai semua doa itu,” katanya penuh emosi.
Terdahulu, Erra selamat bergelar isteri kepada usahawan Ezwan Zain, 44, dalam majlis yang berlangsung di Kampung Melayu Subang pada jam 9.20 pagi.
