“Sebulan Kenal, Terus Tuan Zainal Ajak Kahwin” – Ibu Shila Amzah

“Sebulan Kenal, Terus Tuan Zainal Ajak Kahwin” – Ibu Shila Amzah

Ibu kepada penyanyi Shila Amzah iaitu Fauziah Sarman, berkongsi kisah pertemuan dan detik awal perkenalan dengan suami baharunya, Brigedier Jeneral Tuan Zainal Abidin Muhammad Saleh.

Segalanya berlaku dalam aturan yang tidak disangka-sangka, Fauziah berkata, mereka mula berhubung pada awal Jun selepas dipertemukan oleh rakan baiknya, Serina Redzuan.

“Pertemuan kami sebenarnya diaturkan Serina Redzuan di mana kami berjumpa dan berkenalan pada 2 Jun lalu.

“Selepas sebulan berkenalan, terus Tuan Zainal ajak kahwin. Macam kita sendiri pun tak percaya. Sebab macam tiba-tiba kena ajak kahwin,” katanya.

Bercerita lanjut, Fauziah memberitahu, mereka sebenarnya merancang untuk bernikah lebih awal, namun beberapa urusan menyebabkan majlis ditunda sehingga Sabtu lalu.

Walaupun perkenalan mereka singkat, Fauziah menegaskan keputusannya untuk kembali mendirikan rumah tangga bukanlah tindakan terburu-buru.

“Kalau kita nak kenal orang, lama mana pun hidup dengan dia sebenarnya kita tak betul-betul kenal juga.

“Pada saya, biarlah kami sama-sama menerima segala kebaikan dan kekurangan. Untuk melayari rumah tangga, itulah kuncinya,” katanya lagi.

Imbas kembali, Fauziah pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi era-80 an, ND Lala dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan lima cahaya mata iaitu Nur Shahila atau Shila, Amir Syafiq, Amir Syahir dan Nur Syuhada.

ND Lala melafazkan cerai pada 2 Ogos 2023 di sebuah masjid, namun hanya dimaklumkan mengenai hal itu kepada Fauziah di aplikasi WhatsApp, pada 8 Ogos 2023.

Pada 5 September 2023, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, mengesahkan lafaz cerai dibuat ND Lala terhadap Fauziah secara ‘voice note’ di WhatsApp pada 2 Ogos lalu adalah sah.

Related post

Leave a Reply