SENIMAN Ziarah Shahronizam, Sampaikan Sumbangan & Beri Sokongan Moral

SENIMAN Ziarah Shahronizam, Sampaikan Sumbangan & Beri Sokongan Moral

Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) berkesempatan menziarahi pelakon, Shahronizam Noor, 53, menerusi program Ziarah Prihatin.

Kunjungan tersebut diketuai oleh Presiden SENIMAN, Zed Zaidi bersama wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau Altimet, serta Ketua Pegawai Eksekutif D’Ayu Pictures Sdn Bhd, Azaromi Ghozali.

Dalam pertemuan itu, Azaromi turut menyerahkan sumbangan bagi pihak syarikat produksi yang turut bekerjasama dengan Shahronizam menerusi filem Penghukum: Nusantara Assassin.

Menurut Shahronizam, kehadiran mereka memberi semangat besar buat dirinya dan keluarga.

“Alhamdulillah, saya dan isteri sangat menghargai kesudian SENIMAN, pihak ADUN serta D’Ayu Pictures meluangkan masa datang menziarahi.

“Saya sendiri maklumkan keadaan kesihatan saya kepada Zed supaya rakan industri dapat tahu perkembangan sebenar,” katanya.

Shahronizam kini sedang berehat selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada bahu kanan bulan lalu.

Keputusan lanjut berkenaan ketumbuhan itu hanya akan diketahui dalam masa terdekat.

“Kalau hasil pemeriksaan nanti menunjukkan keadaan kurang baik, saya mungkin perlu jalani rawatan radioterapi,” jelasnya.

Mengulas dakwaan kononnya SENIMAN lambat bertindak, Zed menjelaskan penganjuran program kebajikan memerlukan koordinasi dan dana yang mencukupi.

“Saya memang sudah dimaklumkan oleh Shahronizam mengenai keadaannya. Cuma untuk gerakkan program sebegini bukan boleh dibuat serta-merta.

“Kebetulan saya hadir ke tayangan filem Penghukum: Nusantara Assassin dan berbincang dengan pengasas D’Ayu Pictures, Datuk Rosmarayu Mokhtar sebelum kami bersetuju menjayakan ziarah,” katanya.

Shahronizam sebelum ini mendapatkan rawatan selepas mengalami sakit berterusan pada bahu kanan hingga merasakan ketulan di bahagian belakang badan.

Pemeriksaan di Klinik Kesihatan Ampang kemudian dirujuk ke Hospital Ampang dan seterusnya kepada pakar ortopedik.

Selepas menjalani imbasan MRI pada 12 September dan pertemuan bersama pakar lima hari kemudian, dia akhirnya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk biopsi sebelum menjalani pembedahan bulan lalu.

Related post

Leave a Reply