Rumah Tangga Mula Bergolak Selepas 5 Bulan Kahwin, 2 Kali Jatuh Talak
Penyanyi, Amylea Azizan, 38, akhirnya membuka cerita sebenar di sebalik keruntuhan rumah tangganya dengan mendedahkan hubungan bersama bekas suami, Mohammad Aqbar Mohamad, sebenarnya mula retak hanya beberapa bulan selepas mereka disatukan.
Menurut Amylea, pergolakan yang bermula kira-kira lima bulan selepas perkahwinan memberi tamparan besar terhadap emosinya, namun kerja menjadi ruang untuk dia bangkit dan kembali kuat.
“Lepas lima bulan berkahwin, hubungan itu memang dah tak stabil. Talak pertama berlaku awal Januari dan dua bulan kemudian talak kedua pula jatuh. Sebenarnya semuanya sudah lama selesai.
“Tahun lepas memang saya lalui fasa yang sangat mencabar, tapi setiap ujian Allah sertakan dengan jalan keluar. Bila fokus pada kerja, secara tak langsung saya dapat alihkan perhatian dan jadi lebih kuat,” katanya.
Tambah Amylea, dia mengakui dirinya benar-benar berharap dapat membina rumah tangga yang harmoni dan menjalankan tanggungjawab sebagai isteri sebaik mungkin.
“Saya tak pernah tinggikan suara. Saya memang nak jadi isteri dan menantu yang baik. Saya cuba sedaya upaya.
“Hidup sederhana sebagai seorang isteri sebenarnya satu impian besar saya tapi tak semua yang kita rancang menjadi,” ujarnya lagi.
Jelas Amylea, dia tidak berniat merahsiakan pergolakan rumah tangga daripada umum, sebaliknya memilih untuk diam kerana bimbang tersilap kata jika bersuara ketika emosi tidak stabil.
“Saya bukan nak sorok. Tapi bila kita bercakap waktu sedih atau marah, kadang-kadang kita boleh terlepas cakap dan akhirnya menyesal.
“Sebab itu saya tunggu sampai betul-betul pulih dulu sebelum umumkan. Idah saya pun dah lama habis, cuma saya tundakan pengumuman itu.
“Saya jaga perasaan ibu mertua dan anak tiri juga, saya rapat dengan mereka, jadi saya tak nak ada yang terasa,” katanya.
Dalam diam, Amylea turut menanggung tekanan yang besar sewaktu melalui fasa rumah tangga yang goyah.
“Semakin berat ujian, semakin banyak rezeki Allah beri. Walaupun begitu, saya sebenarnya sangat tertekan. Sakitnya hanya saya yang tahu.
“Kalau ada penggambaran, saya siap tentukan waktu untuk menangis supaya mata tak nampak bengkak depan kamera.
“Orang tanya khabar, saya jawab okay padahal jauh sekali dari okay. Saya tanggung semuanya seorang diri,” katanya lagi.
Pada Oktober lalu, Amylea mengesahkan perkahwinannya dengan Aqbar atau Ash yang berlangsung pada 27 November 2023, telah berakhir setelah tiga tahun bersama.
