Zed Zaidi Anggap Teguran Berbaloi, Pelakon Junior Semakin Hormat Senior
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi, 45, mengakui tegurannya terhadap segelintir pelakon baharu yang didakwa kurang menghormati senior di lokasi penggambaran mula membuahkan hasil.
Menurut Zed, sejak kenyataannya itu tular, perubahan positif dalam kalangan pelapis industri semakin ketara.
Jelasnya, lebih ramai pelakon muda kini dilihat ramah, terbuka dan tidak segan menyapa rakan pelakon lain ketika berada di set.
“Perkongsian saya sebelum ini memang beri impak. Daripada liputan media sahaja, sudah berjuta menonton kerana perkara itu pernah berlaku pada saya.
“Pelakon baharu perlu faham, sistem yang mereka amalkan di media sosial tidak sama dengan sistem kerja dalam industri kreatif. Caranya memang berbeza,” katanya ketika ditemui pada pelancaran filem Zero.
Dalam pada itu, Zed turut menegaskan budaya hormat-menghormati tidak kira antara pelakon senior atau junior adalah kunci utama memastikan perjalanan penggambaran berjalan lancar.
“Mereka perlu tahu menghormati dan kita mesti bekerjasama supaya tidak menyusahkan orang lain. Jangan rasa diri terlalu hebat.
“Semua kena berganding bahu untuk menjayakan sesebuah karya. Itu yang paling utama,” ujarnya lagi.
Katanya, isu yang disuarakan itu juga memberi kesedaran kepada generasi baharu yang masih mencari rentak dalam dunia lakonan, sekali gus melegakan ramai pelakon senior dan veteran.
“Impaknya bukan untuk saya sahaja, tetapi kepada yang lain juga terutama veteran. Ramai yang mengadu.
“Jadi pelakon baharu mula faham bahawa hormat menghormati dalam industri ini sangat penting. Kita perlu jaga diri, jaga imej dan jaga maruah industri kreatif,” jelasnya.
Sebelum ini, Zed meluahkan rasa kesal apabila mendakwa ada pelakon baharu yang bersikap kurang sopan ketika berada di lokasi penggambaran.
Dalam perkembangan lain, Zed bakal kembali ke layar perak menerusi filem aksi arahan Andre Chiew berjudul Zero, yang dijangka memulakan penggambaran awal Disember ini.
Filem bertemakan isu sindiket penjualan organ itu turut dibintangi Hun Haqeem, Fabian Loo, Harissa Adlynn, Iedil Dzuhrie Alaudin, Tony Eusoff dan ramai lagi.
