Adik Cha Eun Woo, Curi Tumpuan Sebagai Pakar AI, Mahu Bantu Selebriti Hadapi Komen Jahat

Adik Cha Eun Woo, Curi Tumpuan Sebagai Pakar AI, Mahu Bantu Selebriti Hadapi Komen Jahat

Adik lelaki Cha Eun Woo, Lee Dong Hwi, kini mula mendapat perhatian ramai. Bukan kerana mahu bergelar penyanyi atau pelakon sama seperti abangnya, tetapi kepakarannya dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

Dalam temu bual yang dimuat naik di saluran Youtube kuliah Sebasi Talk, Dong hwi menyampaikan ucapan mengenai AI di AI Summit Seoul & Expo 2025, yang berlangsung di COEX.

Dalam temu bual berkenaan, dia mendedahkan yang kerjayanya banyak diinspirasikan oleh dunia abangnya sendiri.

“Kerana saya hidup dalam lingkungan yang dekat dengan selebriti, saya mula memberi perhatian kepada kebimbangan dan minat mereka.

“Saya lihat mereka sentiasa memikirkan bagaimana untuk berkomunikasi dengan lebih baik dengan peminat. Bukan sahaja selebriti, malah syarikat hiburan dan jenama juga banyak memikirkan tentang maklum balas data.

“Saya rasa bagus jika ada penyelesaian yang boleh mengumpulkan data seperti ini,” katanya.

Dalam masa sama, Dong Hwi berkongsi tentang matlamat utamanya untuk membantu selebriti menguruskan hal-hal berkaitan komunikasi bersama peminat dan netizen.

“Saya pernah melihat kes selebriti mengalami tekanan dan kesakitan akibat komen jahat. Sudah tentu, mereka perlu menerima dan berkembang melalui maklum balas yang membina, tetapi kerana terlalu banyak media, terdapat juga komen jahat yang melampau.

“Bukankah ini era personal influencer? Kami kini dalam peringkat merancang satu sistem untuk melindungi mereka yang terdedah kepada media,” katanya.

Dong Hwi, yang sebelum ini tular kerana ketampanannya yang setanding Cha Eun Woo merupakan graduan Universiti Fudan di China dan kini bekerja sebagai pakar AI.

Sumber: Allkpop

Related post

Leave a Reply