MYTV Lancar Siri Originals Pertama – BF Green Flag Pertaruh Syazwan & Athalia
Mencipta sejarah baharu apabila aplikasi MYTV memperkukuhkan peranannya dalam menawarkan kandungan hiburan berkualiti tempatan dengan memperkenalkan siri original pertama di bawah jenama MYTV Originals, berjudul BF Green Flag.
Hasil terbitan Astra Entertainment ini mempertaruhkan Syazwan Razak dan Athalia sebagai teraju utama.
Dalam siri ini, Syazwan Razak menonjol dengan lakonan yang lebih matang dan berkarakter menerusi watak Alfa, sementara Athalia yang juga merupakan anak kepada penyanyi Sharifah Zarina mencuri perhatian dengan penampilan sulungnya sebagai pelakon.
Bintang lain yang turut terlibat dalam naskhah ini termasuk Azhan Rani, Dafi, Syahmie Thsa’Qeef, Amir Mirza, Khaleed Asyarief, Uchee Fukada, Iman Suhana, Dottie Syuhada, serta penampilan istimewa daripada pempengaruh popular tanah air seperti Ryan Bakery, Farihinarnia dan WanChai.
Gabungan antara pelakon berpengalaman dan wajah-wajah baharu ini berjaya mencipta keseimbangan yang segar dan dinamik, bukan sahaja dari segi tenaga lakonan tetapi juga dalam memperkayakan penceritaan.
BF Green Flag menyaksikan kisah Adella yang menutup pintu hatinya untuk bercinta lagi selepas dikhianati dalam hubungan toksik. Namun takdir menemukan dia dengan Alfa, jejaka yang diperkenalkan oleh makciknya dan segalanya berubah.
Dari curiga menjadi percaya, dari luka menjadi sembuh, BF Green Flag menyingkap perjalanan Adella mencari keberanian untuk mencintai semula bersama lelaki yang benar-benar ‘green flag’.

Bukan sekadar hiburan, siri Originals arahan Kamal Husni dan skrip oleh Faten Syamimie ini turut mengetengahkan isu kesihatan mental dalam kalangan remaja dan orang muda, khususnya kesan trauma daripada hubungan toksik.
Jadi, naskhah ini mampu menjadi ‘wake-up call’ kepada generasi muda untuk lebih sedar tentang kepentingan menjaga kesihatan mental dan mengenali tanda-tanda hubungan tidak sihat di samping menyampaikan mesej positif tentang pentingnya kepercayaan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MYTV, Mohamad Helmi Harith, plancaran MYTV Originals menjadi langkah strategik kami dalam memperkukuh ekosistem kreatif tempatan.
“Sudah tiba masanya MYTV bukan sahaja menjadi platform penyiaran, tetapi juga pemangkin kepada kebangkitan kandungan tempatan yang lebih segar, autentik dan relevan dengan penonton masa kini.
“Melalui BF Green Flag sebagai siri original pertama, kami ingin memberi pengalaman berbeza kepada penonton dengan menikmati karya berkualiti tinggi dan pada masa sama memperkukuh daya saing kandungan Malaysia di peringkat digital,” katanya.
Pihaknya yakin BF Green Flag akan mendapat tempat di hati penonton, khususnya dalam kalangan generasi Gen Z, kerana kandungannya memberi tumpuan kepada mesej dan isu sosial yang dekat dengan kehidupan mereka.
“Kami percaya jalan cerita dan emosi yang dipaparkan tetap relevan untuk semua lapisan penonton Malaysia memandangkan ia menyentuh tema universal seperti trauma dan peluang kedua dalam kehidupan.
“Kami harap siri MYTV Originals ini dapat diterima oleh penonton, serta mampu mencetuskan gelombang impak kepada industri kreatif tempatan,” jelasnya lagi.

Bagi Penerbit Eksekutif Astra Entertainment, Dato Rozaidi Baharudin, menganggap setiap naskhah yang dihasilkan bukan sahaja membawa nilai hiburan tetapi juga lebih besar daripada itu
“BF Green Flag dihasilkan untuk mengetengahkan tema yang relevan dengan Gen Z seperti mengangkat isu trauma, kepercayaan dan cinta yang sihat, di samping membuka ruang kepada pelakon muda untuk menyerlah melalui penceritaan yang dekat dengan jiwa mereka,” katanya ringkas.
Drama ini turut menampilkan lagu tema berjudul Hanya Namamu Cinta, nyanyian Dafi, yang merupakan rakaman semula daripada album pertamanya, kini diberi sentuhan baharu khas untuk siri ini.
Dengan Siri Originals sebanyak 20 episod berdurasi 7 minit ini, BF Green Flag boleh ditonton bermula 13 November, setiap hari Khamis, jam 12.00 tengah hari, eksklusif hanya di MYTV Mana Mana.
