Aku Bukan Cinta – “Kisah Melepaskan Sesuatu Yang Tidak Lagi Memberi Bahagia”
Perjalanan yang dilalui lelaki ini penuh liku namun apa yang dilalui tidak pernah sesekali mematahkan semangatnya sementelah dia tahu bakat besar yang ada di dalam dirinya.
Muncul sebagai naib juara program realiti nyanyian TV popular, Mentor musim ke-7, Pasya kembali mewarnai industri muzik tanahair dengan single terbaharu berjudul Aku Bukan Cinta, sebuah karya balada emosional yang menyentuh jiwa dan dekat dengan realiti kehidupan.
Diterbitkan di bawah syarikat rakaman Seventeen Eleven Music, lagu ini adalah hasil ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh dengan lirik lagu ditulis sepenuhnya oleh Ikhwan Fatanna.
Kehadiran Aku Bukan Cinta bukan sekadar mengangkat kisah putus cinta, tetapi juga simbol kekuatan untuk melepaskan sesuatu yang tidak lagi memberi kebahagiaan.
Menurut Pasya atau nama sebenar Faizul Ashraff Fauzi, lagu Aku Bukan Cinta adalah sebuah lagu yang cukup dekat di hati dan penuh emosi.
“Single Aku Bukan Cinta adalah sebuah lagu balada yang cukup emosional, membawa kisah tentang luka dalam sebuah hubungan apabila cinta tidak dihargai. Ia bukan sekadar sebuah lagu putus cinta, tetapi juga kisah mengenai kekuatan untuk melepaskan sesuatu yang tidak lagi memberi bahagia.
“Sejujurnya, pertama kali saya mendengar demo lagu ini, saya terus jatuh hati kerana melodinya sangat kuat dan liriknya begitu dekat dengan realiti kehidupan. Saya percaya ramai yang pernah melalui pengalaman seperti dalam lagu ini, jadi saya rasa ia ada ‘jiwa’ yang mampu menyentuh hati pendengar,” katanya.
Pasya berkata, kerjasama dengan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh turut menjadi pengalaman berharga buat dirinya.
“Ikhwan memberi sentuhan lirik yang puitis tapi mudah difahami manakala Wan Saleh pula mengangkat lagu ini dengan susunan muzik yang moden, segar dan penuh perasaan. Saya rasa sangat beruntung dapat belajar daripada mereka.
“Dari sudut mesej, Aku Bukan Cinta membawa nilai keberanian dalam menerima hakikat sesuatu hubungan yang tidak lagi sehaluan.
“Walaupun perit, kadang-kadang kita perlu lepaskan demi kebahagiaan diri sendiri dan juga orang yang kita sayang. Lagu ini adalah tentang keikhlasan dan juga doa agar orang yang pernah kita cintai tetap bahagia,” kata Pasya lagi.

Berkongsi mengenai proses rakaman, Pasya mengakui cabaran utamanya adalah untuk benar-benar menyelami setiap bait lirik agar penyampaian vokal sampai dengan jujur kepada pendengar.
Sebagai harapan, Pasya meletakkan single ini sebagai langkah baharu yang lebih matang dalam perjalanan seninya.
“Saya harap peminat dapat merasai kejujuran yang cuba saya sampaikan. Kalau lagu ini dapat menjadi penguat semangat kepada mereka yang pernah terluka dalam percintaan, itu sudah cukup bermakna bagi saya.
Bagi saya, Aku Bukan Cinta adalah fasa baru yang lebih dewasa dalam kerjaya seni saya,” tambahnya.
Digarap dengan melodi yang indah, susunan muzik yang segar serta mesej yang kuat, Aku Bukan Cinta diyakini mampu mendapat tempat di hati para pencinta muzik tanahair.
Sudah dilancarkan secara rasmi baru-baru ini, video muzik rasmi Aku Bukan Cinta juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.
