Bapa Biarkan Anak Mati Kepanasan Dalam Kereta Sebab Nak Tonton Bahan Porno, Mati Bunuh Diri

Bapa Biarkan Anak Mati Kepanasan Dalam Kereta Sebab Nak Tonton Bahan Porno, Mati Bunuh Diri

Seorang lelaki yang meninggalkan anak perempuan berusia dua tahun dalam kereta sehingga menyebabkan kematian semata-mata mahu menonton filem porno ditemui mati di kediamannya di Arizona, Amerika Syarikat pada 5 November lalu.

Menurut laporan NBC News, Christopher Scholtes, 38, ditemui mati di rumahnya oleh polis pada hari dia dijadualkan hadir ke mahkamah untuk mendengar keputusan hukuman.

Christopher berdepan hukuman sehingga 30 tahun penjara selepas mengaku bersalah atas tuduhan membunuh darjah kedua (second-degree murder).

Peguam Daerah Pima County, Laura Conover, mengesahkan dalam sidang media bahawa Christopher telah mengambil nyawanya sendiri malam sebelumnya.

Laura turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Christopher atas dua kehilangan besar yang menimpa mereka.

Christopher meninggalkan seorang isteri dan dua lagi anak.

Menurut New York Post, Christopher diketahui mempunyai tabiat meninggalkan anak-anaknya tanpa pengawasan dalam kereta.

Pada Julai 2024, anak perempuannya, Parker, ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta di laluan masuk rumah keluarga mereka.

Suhu di luar ketika itu direkodkan mencecah 109 darjah Fahrenheit (lebih 42 darjah Celsius).

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di hospital berhampiran, dan laporan bedah siasat menunjukkan punca kematian ialah akibat terdedah kepada haba melampau, lapor The Arizona Republic.

Pada awalnya, Christopher memberitahu polis dia meninggalkan anaknya dalam kereta kerana anak itu sedang tidur dan dia tidak mahu mengejutkannya.

Dia mendakwa telah meninggalkan anaknya dengan pendingin hawa dihidupkan dan enjin masih berjalan, menurut kenyataan Jabatan Polis Marana.

Namun, pendakwa raya kemudiannya mendedahkan, Christopher sebenarnya tahu enjin dan pendingin hawa akan terpadam secara automatik selepas 30 minit, lapor NBC News.

Anak-anak Christopher yang lain turut memberitahu polis yang ayah mereka sering meninggalkan mereka di dalam kereta sementara dia bermain permainan video.

Pendakwa raya menuduh Christopher leka bermain permainan video, menonton bahan lucah dan minum arak ketika anak perempuannya berada dalam kereta yang panas terik, lapor New York Post.

Related post

Leave a Reply