Belajar Tanam Ganja Melalui Youtube, Pasangan Kekasih Ditangkap
Walaupun ramai antara kita belajar pelbagai teknik kemahiran tentang hidup daripada menonton video dalam talian, tidak semua perkara yang ditonton sesuai untuk ditiru, terutamanya jika ia melibatkan dadah.
Itulah pengajaran pahit yang diterima oleh sepasang kekasih selepas mereka ditangkap kerana disyaki menanam pokok ganja dalam kondominium mereka, dan kini berdepan kemungkinan penjara seumur hidup serta sebatan.
Menurut laporan China Press, pasangan itu ditahan oleh polis di unit kondominium sewa mereka di Bangsar sekitar jam 11.30 malam pada 6 November lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook, berkata penahanan dibuat selepas serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur.
Dalam serbuan itu, polis menemui dua pokok disyaki ganja dan 27 gram daun kering dipercayai ganja bernilai kira-kira RM1,210.
Polis turut merampas dua telefon bimbit dan beberapa barangan kemas termasuk tiga rantai, empat loket dan dua cincin.
Salah seorang suspek kemudian mengaku kepada polis bahawa dia mula menanam pokok ganja tersebut tujuh minggu lalu selepas belajar cara berbuat demikian melalui beberapa video di YouTube.
“Polis kini sedang menyiasat punca pokok ganja tersebut, termasuk sama ada ia digunakan untuk kegunaan sendiri atau dijual kepada penagih lain.
Suspek lelaki mempunyai rekod berkaitan dadah dan didapati positif dadah, manakala pasangannya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” kata Hoo.
Kedua-dua suspek, yang tidak bekerja, kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, kerana menanam tumbuhan terlarang dan mengambil dadah berbahaya.
