Pelajar Trauma Lelaki Tunjuk Alat Sulit Depan Asrama Di Kampar
Sekumpulan pelajar yang menetap di sebuah asrama di Kampar mengalami detik trauma selepas seorang lelaki dirakam kamera litar tertutup (CCTV) menayangkan alat sulitnya secara terbuka.
Tangkapan layar daripada rakaman CCTV itu kini tular di media sosial, dengan pengguna asal (OP) menyeru pelajar perempuan agar lebih berhati-hati terhadap individu sebegini.
Dalam salah satu tangkapan layar tersebut, kelihatan lelaki berkenaan yang memakai baju-T biru dan seluar panjang hitam, berhenti di hadapan salah satu blok asrama sambil menunggang motosikal dengan seluarnya diturunkan hingga ke paras lutut, memperlihatkan alat sulitnya.
Satu lagi tangkapan layar menunjukkan lelaki itu menjeling ke arah seorang wanita muda, dipercayai penghuni asrama, yang lari ketakutan selepas menyaksikan perbuatan tidak senonoh itu dengan matanya sendiri.
Menurut laporan Oriental Daily, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud mengesahkan bahawa laporan polis telah dibuat berhubung insiden tersebut dan siasatan kini sedang dijalankan.
Malangnya, Kampar bukan kali pertama berdepan kejadian berunsur lucah dan tidak senonoh, dengan antara kes paling terkenal sebelum ini melibatkan kecurian pakaian dalam wanita pada waktu malam.
