Bekas Suami Dakwa Britney Spears Pernah Mahu Dirinya Dan Anak-Anak Mati
Kevin Federline terus memberikan tekanan kepada Britney Spears menerusi pendedahan mengejut dalam memoir terbaharunya.
Dalam memoir bertajuk You Thought You Knew, bekas suami kedua bintang pop itu mendakwa, Britney pernah menyatakan hasrat yang supaya dia dan dua anak mereka lebih baik mati, selepas tamatnya tempoh konservatori selama 13 tahun pada tahun 2021.
Menurut majalah People, Kevin mendakwa hubungan Britney dengan dua anak mereka iaitu Sean Preston, kini 20 tahun dan Jayden James, 19 tahun tegang akibat tingkah laku penyanyi itu yang semakin tidak menentu.
Namun, keadaan memuncak pada tahun 2023 selepas Kevin membawa keluarganya berpindah ke Hawaii.
Dia mendakwa, ketika bercuti di Eropah, Preston terlibat dalam perbualan telefon yang tegang dengan Britney, yang menuduh Kevin, ayahnya, Jamie, serta ahli keluarga lain sebagai punca segala masalahnya.
“Preston, dengan keberaniannya, menegur ibunya. Dia membongkar penipuan dan menolak naratif yang cuba dibawa Britney.
“Jawapan Britney sangat menakutkan: dia mengatakan bahawa dia berharap Preston, adiknya, dan saya sudah mati,” tulis Kevin.
Perbualan itu benar-benar memberi kesan kepada Kevin, 47, yang pernah berkahwin dengan pemenang Grammy itu dari 2004 hingga 2007.
“Mendengar Preston menceritakan semula apa yang berlaku sangat menghancurkan hati saya… Trauma seperti itu akan meninggalkan parut dan saya takut ia akan kekal dalam hidup mereka selamanya,” katanya.
Kevin juga menuduh Britney sebagai ibu yang tidak bertanggungjawab, termasuk minum alkohol ketika hamil, mengambil kokain semasa menyusukan anak, serta menunjukkan tingkah laku yang mengganggu ketika sesi lawatan bersama anak-anak.
Lelaki itu turut meluahkan kebimbangan mengenai tahap kesihatan mental Britney. Menurut Kevin, dia takut keadaan Britney kini menuju sesuatu yang tidak boleh dipulihkan.
Sebelum ini, Britney, 43, mengecam dakwaan dalam memoir tersebut dan menyifatkannya sebagai satu pembohongan halus.
“Gaslighting berterusan daripada bekas suami sangat menyakitkan dan meletihkan. Saya selama ini merayu untuk menjalani hidup bersama anak-anak saya.
“Saya akan sentiasa menyayangi mereka dan jika anda benar-benar mengenali saya, anda tidak akan percaya kisah tabloid mengenai kesihatan mental atau minuman saya.
“Saya sebenarnya seorang wanita yang cukup bijak dan telah cuba menjalani kehidupan yang suci dan peribadi sejak 5 tahun lalu,” tulis Britney dalam kenyataan di Instagram.
