Siti Nurhaliza Pilih Lesti Kejora Dendang Kumbang Bunga
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan industri muzik serantau pasti mengetahui betapa terujanya sebahagian besar peminat terhadap mereka berdua.
Bukan sahaja suara dan aura yang menjadi perhatian tetapi juga kolaborasi perdana antara Datuk Seri Siti Nurhaliza dan penyanyi pelapis hebat Indonesia, Lesti Kejora, sering dinantikan oleh penikmat lagu irama Melayu khususnya.
Lantas, apabila Siti dan Lesti bergabung menerusi lagu Kumbang Bunga, ia bagaikan hadiah bermakna buat peminat yang sentiasa menantikan buah tangan daripada kedua-dua nama besar ini.
Sebetulnya, Kumbang Bunga ciptaan Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh ini menjadi single pertama daripada album terbaharu Siti Nurhaliza, sekali gus melambangkan persahabatan serta keharmonian dua negara serumpun yang disatukan melalui bahasa muzik.
Kumbang Bunga membawa makna signifikan sebagai gabungan tiga irama utama iaitu inang, dangdut dan masri dalam garapan kontemporari tradisional.
Lagu ini dihasilkan bagi menyantuni peminat muzik dari pelbagai lapisan usia, melangkaui generasi serta menarik minat golongan muda untuk terus mendekati muzik berteraskan warisan.
Menurut Biduanita Negara, beliau tertarik dengan melodi Kumbang Bunga sebaik pertama kali mendengarnya dan mencadangkan agar elemen dangdut, yang sinonim dengan latar muzik Lesti, turut dimasukkan ke dalam gubahan lagu ini.
“Saya gembira kerana hasrat untuk berduet dengan Lesti sudah lama dirancang dan inilah waktu yang tepat apabila saya tampil dengan single serta album berkonsepkan tradisional,” ujar Siti.
Tambah beliau, muzik mempunyai kekuatan luar biasa untuk menyatukan manusia tanpa mengira bahasa, budaya dan sempadan.
“Menerusi Kumbang Bunga, saya berharap lagu ini bukan sahaja diterima baik di Malaysia dan Indonesia tetapi turut mendapat tempat di hati peminat kami di negara lain,” jelasnya lagi.

Kenyataan itu turut disambut baik oleh Lesti yang menyifatkan muzik sebagai medium yang mampu menyatukan dan menghargai perbezaan dengan penuh hormat.
“Saya berterima kasih kepada Siti kerana mengundang saya berduet dalam lagu yang sangat indah ini. Para peminat kami sudah lama mendambakan kolaborasi ini dan akhirnya menjadi kenyataan,” kata Lesti.
Sementara itu, Firdaus Rahmat, selaku komposer dan penulis lagu, menjelaskan bahawa proses penciptaan Kumbang Bunga mengambil masa kira-kira dua hari sahaja untuk disiapkan sepenuhnya.
“Lagu ini memang saya gubah khas untuk Siti dan Lesti kerana saya ingin menonjolkan keindahan vokal mereka dalam nuansa irama tradisional yang moden dan segar,” ujar Firdaus yang bergabung bersama Iqie Hugh dalam penciptaan karya ini.
Kumbang Bunga diterbitkan oleh SN Legacy Sdn. Bhd., Trinity Optima Production dan Universal Music Sdn. Bhd, boleh didapati di semua pelantar digital mulai 22 Oktober yang lalu.
