Sindiket Menyamar Pelakon Squid Game, Mangsa Diperdaya Hingga Kerugian Lebih RM1.6 Juta

Sindiket Menyamar Pelakon Squid Game, Mangsa Diperdaya Hingga Kerugian Lebih RM1.6 Juta

Satu kes scam percintaan yang melibatkan individu menyamar sebagai pelakon terkenal, Lee Jung Jae telah terbongkar baru-baru ini.

Menurut laporan JTBC, seorang wanita berusia lingkungan 50-an (dikenali sebagai Cik A) telah ditipu kira-kira 500 juta won (RM1.6 juta) oleh sekumpulan scammer yang mendakwa diri mereka sebagai Lee Jung Jae.

Cik A mula berkenalan dengan scammer tersebut melalui media sosial, di mana individu itu memperkenalkan dirinya sebagai Lee Jung Jae dan kononnya mahu berkomunikasi dengan peminat.

Untuk meraih kepercayaannya, scammer itu menghantar swafoto yang dijana AI, serta menunjukkan kad pengenalan palsu, mendakwa dirinya sedang menjalani penggambaran Squid Game 3.

Lama-kelamaan, scammer itu memanggil Cik A dengan panggilan romantik seperti sayang dan ‘honey,’ seolah-olah mereka menjalin hubungan cinta.

Mereka kemudian memperkenalkan seorang lagi rakan sekutu yang menyamar sebagai ketua pegawai perniagaan, yang mendakwa boleh mengatur pertemuan peribadi dengan Lee Jung Jae dengan bayaran 6 juta won (RM17,725).

Mereka terus menuntut wang atas pelbagai alasan sehingga berjaya memperdaya Cik A sebanyak 500 juta won (RM1.6 juta) dalam tempoh enam bulan.

“Saya benar-benar percaya dia adalah Lee Jung Jae yang sebenar. Bila difikirkan semula, saya rasa sangat bodoh,” ujar Cik A dalam satu temu bual.

Pihak Polis Miryang di Wilayah Gyeongnam kini sedang menyiasat kes tersebut dan tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan rangkaian penipuan antarabangsa berpangkalan di Kemboja.

Malah, selepas siasatan dimulakan, scammer tersebut masih menghantar mesej kepada Cik A, antaranya: “Tolong percayakan saya.”

Scam percintaan ialah sejenis penipuan dalam talian di mana pelaku berpura-pura menjalinkan hubungan romantik dengan mangsa untuk meraih kepercayaan sebelum menipu wang.

Scam jenis ini sering menggunakan teknik seperti gambar AI, identiti palsu dan manipulasi emosi dalam tempoh yang panjang.

Related post

Leave a Reply