Intan Najuwa Sanggup Buang Perkakas Dapur Baharu Jika Tersenarai Dalam Barangan Boikot
Pelakon, Datin Intan Najuwa, 28, menegaskan dia tidak teragak-agak untuk membuang semua perkakas dapur berjenama mewah miliknya sekiranya terbukti produk tersebut termasuk dalam senarai pro-Israel.
Menurut pemilik nama penuh Intan Najuwa Abdul Wahid, dia sudah membuat semakan di beberapa laman web sebelum membeli barangan tersebut, namun tetap bersedia mengambil tindakan tegas jika terbukti menyokong rejim Zionis.
“Adakah jenama ini termasuk dalam senarai boikot? Saya dah semak di dua laman web, tapi nama jenama itu tiada.
“Kalau betul ia pro-Israel, saya akan buang semua sekarang juga, serius,” katanya menerusi ruangan komen di TikTok.
Ibu satu anak itu turut meminta orang ramai menegurnya dengan fakta yang sahih sekiranya dia tersilap dalam membuat pilihan.
“Kalau saya tersilap, tolong maklumkan. Saya tak akan teragak-agak untuk hentikan penggunaannya,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Intan berkongsi sebuah video ‘unboxing’ perkakas dapur mewah termasuk cerek, set cawan dan pinggan seramik yang baru dibelinya.
Namun, hantaran itu menimbulkan pelbagai reaksi apabila sebahagian netizen melahirkan kebimbangan sekiranya jenama berkenaan mempunyai kaitan dengan Israel.
Situasi tersebut turut mencetuskan perdebatan di media sosial susulan wujudnya kempen boikot terhadap mana-mana selebriti tempatan yang didakwa menggunakan atau mempromosikan produk pro-Zionis di tengah-tengah gelombang solidariti rakyat Malaysia terhadap Palestin.
