Aaron Aziz Terkejut Anak Terima LOD Saman RM2 Juta

Aaron Aziz Terkejut Anak Terima LOD Saman RM2 Juta

Pelakon, Datuk Aaron Aziz, 49, meluahkan rasa terkejut serta kecewa selepas menerima surat tuntutan (LOD) daripada pempengaruh media sosial, Sharina Richie yang didakwa berhasrat memfailkan saman berjumlah RM2 juta terhadap anak perempuannya, Dwi Ariana.

Menurut Aaron, tindakan tersebut dianggap tidak wajar kerana anaknya langsung tidak terlibat secara langsung dalam sebarang pertelingkahan membabitkan dirinya dengan Sharina.

“Saya sangat terkejut bila terima surat LOD semalam. Pihak Sharina mahu saman anak saya sebanyak RM2 juta. Saya tertanya-tanya, apa salah Dwi sebenarnya?

“Sebelum ini dia hanya bertanya kenapa video yang dimuat naik oleh pihak sana tentang saya masih belum dipadam. Itu sahaja, bukan dia hina atau maki sesiapa pun. Semua kenyataan anak saya ada dinyatakan dalam LOD itu,” katanya.

Aaron turut menegaskan dia akan mempertahankan keluarga dan melindungi anak gadisnya yang kini sedang menempuh musim peperiksaan.

“Saya dan isteri sebenarnya tak mahu beritahu Dwi tentang hal ini kerana risaukan emosinya. Tapi bila pihak sana naikkan video dan sebut nama dia, saya tak boleh berdiam diri lagi,” jelasnya.

Aktor filem KL Gangster itu tidak menolak kemungkinan isu ini akan berlanjutan ke perbicaraan mahkamah sekiranya tiada jalan damai dicapai.

“Kalau Sharina tidak teruskan tindakan saman, mungkin masih boleh diselesaikan secara baik. Tapi kalau dah pilih untuk saman, saya anggap pintu perdamaian sudah tertutup,” katanya penuh tegas.

Aaron juga mendedahkan kontroversi tersebut memberi kesan besar terhadap dirinya dan keluarga.

“Kerjaya saya banyak terjejas akibat isu ini. Malah, dua anak saya yang sedang belajar di luar negara turut tertekan. Kalau berlaku apa-apa pada mereka akibat tekanan ini, siapa yang akan bertanggungjawab?” ujarnya.

Konflik antara Aaron dan Sharina mula tercetus selepas tular sebuah video suntingan yang memaparkan seolah-olah aktor itu mengulas isu Palestin secara tidak sensitif.

Rentetan itu, Sharina mengkritik kenyataannya tanpa mengetahui video tersebut merupakan potongan daripada rakaman lain sekali gus menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen.

Bagaimanapun, Sharina kemudian tampil memohon maaf secara terbuka kepada Aaron dan menjelaskan dirinya turut menjadi sasaran kecaman walaupun telah memadam video berkenaan.

Dia juga memaklumkan sudah membuat laporan polis dan akan meneruskan tindakan undang-undang bagi melindungi diri daripada sebarang ancaman serta fitnah yang diterimanya.

Related post

Leave a Reply