Semoga Saja Gandingkan Aisha Retno & Ade Govinda
Hanya mengambil masa bebeeapa tahun sahaja, nama Aisha Retno menjadi antara suara muda yang paling menonjol dalam landskap industri muzik Malaysia.
Dikenali dengan vokal yang lembut namun bertenaga serta gaya persembahan yang jujur dan emosional, Aisha terus membuktikan bahawa dirinya bukan sekadar penyanyi baharu tetapi seorang penyanyi yang benar-benar memahami seni menyampaikan rasa.
Sejak debut profesionalnya pada tahun 2018, Aisha telah menghasilkan beberapa karya hits yang mengangkat namanya, antaranya Mengikat Jiwa, Nukilanku, W.H.U.T, Pencarianku, dan Sutera.
Kemunculan wajahnya di papan iklan digital di Times Square, New York dan pengiktirafan sebagai duta Spotify EQUAL Malaysia & Singapura pada tahun 2022, mengukuhkan lagi kredibilitinya sebagai bintang yang bersinar terang bukan hanya di tanah air, tetapi juga di pentas serantau.
Terbaharu, Aisha melebarkan lagi sayap seninya menerusi single kolaborasi bersama pemuzik dan penerbit ternama Indonesia, Ade Govinda berjudul Semoga Saja.
Pelancaran lagu ini membawa Aisha ke arah muzik yang lebih matang, introspektif dan mendalam sekaligus menampilkan sisi berbeza dalam perjalanan seninya.

Berbeza dengan kebanyakan karya Ade Govinda sebelum ini yang bernuansa pop balada, Semoga Saja hadir dengan tempo sederhana namun tetap sarat emosi.
Lagu ini mengangkat tema kehilangan, kerinduan, dan doa yang tidak pernah padam, suatu perasaan universal yang mudah dirasai oleh sesiapa sahaja.
Menurut Aisha, dia bukan sahaja sekadar menyumbangkan suara, tetapi juga turut menulis lirik lagu ini bersama Ade, menjadikan Semoga Saja benar-benar karya luhur dari hati ke hati.
“Sejujurnya, lagu ini sangat peribadi untuk saya. Ia mewakili rasa kehilangan dan harapan yang mungkin pernah dirasai ramai orang.
“Saya berharap pendengar dapat merasai kejujuran dalam setiap bait lirik dan mendapatkan kekuatan daripada sisa harapan itu,” jelas Aisha.
Serentak dengan pelancaran digital lagu ini, turut disertakan sebuah video muzik (MV) arahan pengarah kreatif Indonesia, Bagoes Tresna Adji yang menjalani penggambaran di Pantai Carita, Indonesia.
MV ini menggambarkan perjalanan emosi seorang wanita yang masih menyimpan harapan pada kehadiran semula seseorang yang pernah pergi.
Naratif visualnya bersifat halus tetapi kuat dalam menyampaikan mesej bahawa walaupun kehilangan itu menyakitkan, harapan mampu menjadi sumber kekuatan.
Kolaborasi ini bukan sahaja mempertemukan dua bakat hebat dari dua negara, tetapi turut membuka potensi kerjasama kreatif yang lebih luas pada masa akan datang.
“Saya sangat menghargai proses kolaborasi ini dan semoga ia bukan yang terakhir. Ada banyak lagi kemungkinan yang ingin kami terokai bersama,” kata Ade Govinda pula.
Single Semoga Saja mula dilancarkan pada 19 September lalu di semua platform penstriman muzik digital. Manakala video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Ade Govinda.
