Erysha Emyra Enggan Ulas Isu Bermasam Muka Dengan Qasrina Karim
Pelakon, Erysha Emyra, 25, tampil menjawab desas-desus kononnya berlaku perselisihan faham antara dirinya dengan aktres Qasrina Karim.
Menurut pemilik nama penuh Nur Erysha Emyra Zakaria hubungan mereka masih dalam keadaan baik dan tidak seperti yang diperkatakan di media sosial.
“Saya tak mahu ulas panjang mengenai isu ini kerana ia terlalu peribadi untuk dikongsikan.
“Apa yang boleh saya katakan, hubungan kami okey saja, tiada bermasam muka. Kami pernah berjumpa di beberapa majlis dan masih berhubung seperti biasa,” jelasnya.
Bintang utama drama Rumah Tanpa Luka itu turut menegaskan dia tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya digandingkan bersama Qasrina dalam mana-mana projek lakonan pada masa akan datang.
“Saya okey sahaja. Bagi saya isu ini bukanlah besar pun. Ramai orang pernah melalui situasi seperti ini, cuma mungkin kerana kami dikenali, ia menjadi perhatian.
“Saya yakin dia pun tiada masalah dengan saya. Cara setiap orang menguruskan sesuatu keadaan mungkin berbeza, tapi pada akhirnya semua bergantung kepada situasi,” tambahnya.
Terdahulu, spekulasi mengenai hubungan rapat mereka dikatakan retak mula tercetus apabila kedua-dua aktres itu dilihat tidak lagi mengikuti antara satu sama lain di Instagram.
Perkara itu sekaligus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat yang selama ini cukup menyukai kemesraan mereka.
