Fauziah Nawi Terima Sijil Kemahiran Malaysia Pada Usia 72 Tahun

Fauziah Nawi Terima Sijil Kemahiran Malaysia Pada Usia 72 Tahun

Pelakon veteran, Datuk Fauziah Nawi, 72, membuktikan usia bukan penghalang untuk terus menuntut ilmu apabila berjaya menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam jurusan Seni Lakon Teater.

Sijil itu diperoleh menerusi program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) anjuran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Menurut Fauziah, pencapaian ini adalah hasil komitmennya yang tidak pernah luntur terhadap ilmu dan seni lakon yang menjadi kecintaannya selama ini.

“Menuntut ilmu sangat penting, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang yang lebih mengutamakan kelayakan akademik berbanding pengalaman semata-mata.

“Saya juga mahu menjadi inspirasi kepada cucu-cucu saya. Alhamdulillah, mereka pun positif dengan usaha ini. Ada antara mereka yang masih belajar,” katanya.

Tambahnya lagi, keputusan untuk kembali belajar dibuat sebagai satu bentuk penebusan terhadap masa lalu.

“Dulu arwah bapa suruh belajar, tapi saya degil. Sekarang barulah sedar, belum terlambat untuk sambung pengajian, walau pada usia berapa sekalipun,” ujarnya.

Fauziah sebelum ini turut menggenggam Ijazah Sarjana Profesional dalam Industri Seni (Lakonan) dari Open University Malaysia (OUM) pada tahun 2018, serta memiliki Diploma Koordinasi Pengarahan Filem daripada Meatech Creative Academy pada tahun 2020.

Dalam perkembangan lain, Fauziah bersyukur kerana masih dikurniakan kesihatan yang baik meskipun sudah mencecah usia emas.

Kata Fauziah, dia hanya menghadapi sedikit kesukaran untuk berdiri lama, namun tidak menghidap sebarang penyakit kronik.

“Saya jaga pemakanan, selalu bersenam, berpuasa dan ikut nasihat doktor. Berat badan saya pernah mencecah lebih 90 kilogram, kini turun kepada 58 kilogram.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan nikmat kesihatan yang Allah SWT berikan,” luahnya penuh syukur.

Related post

Leave a Reply