Afdlin Shauki Timang Anak Pada Usia 54 Tahun
Pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki, 54, berkongsi berita gembira apabila sudah menimang cahaya mata perempuan yang selamat dilahirkan pada tahun lalu.
Meskipun mengakui usia sudah lewat untuk memiliki anak, Afdlin bagaimanapun bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Ilahi.
Anak yang diberi nama Inayah itu merupakan hasil perkongsian hidup dengan isteri, Datin Marcella yang dinikahinya pada Ogos 2023.
“Sangat seronok, gembira yang tidak boleh digambarkan. Dapat anak ini macam rasa diberi peluang kedua.
“Dapat anak kecil pada usia sekarang iaitu 54 tahun dan kembali menjadi bapa rasa seronok.
“Mungkin kerana dulu sebagai bapa yang muda saya agak sibuk dan asyik pulun kerja untuk memastikan anak mendapat kehidupan yang baik.
“Disebabkan itu saya jarang jumpa dan tahu-tahu anak dah besar. Sekarang saya lebih banyak masa untuk bersama anak sebab saya tahu banyak buat silap masa dulu,” katanya.
Kongsi Afdlin lagi, tujuan dia tidak pernah berkongsi berita menyambut cahaya mata kepada umum kerana mahu menjaga privasi keluarganya.
Malah, dia dan isteri sepakat untuk tidak mendedahkan wajah bayi mereka sehingga usia mencecah dua tahun.
Tegas Afdlin, dia mempunyai alasan tersendiri untuk ‘menyorok’ wajah anaknya kerana tidak mahu sebarang perkara tidak diingini berlaku.
“Bukan perkahwinan yang sekarang, sejak perkahwinan sebelum ini dengan isteri pertama pun saya jarang kongsi gambar keluarga. Kami inginkan privasi.
“Cukuplah orang di luar sana mengenali saya, tidak perlu kenal anak atau isteri saya. Saya akan dedahkan wajah Inayah apabila tiba masanya,” ujarnya lagi menerusi laporan OhBulan.
Sekadar info, Afdlin juga mempunyai tiga cahaya mata menerusi perkahwinan pertama dengan bekas isteri, Maria Christina Orow Abdullah iaitu Mia Sara, Anais dan Ileana Matin.