Penganjur Keretapi Sarong Saran Orang Awam Ikut Etika Berpakaian
Penganjur Keretapi Sarong, Locco mengajak orang awam yang ingin menyertai acara tersebut supaya lebih peka terhadap etika berpakaian.
Menerusi satu perkongsian di platform X, Locco menegaskan supaya orang awam menjadi warga yang bertanggungjawab dan memberi teguran jika ada yang melanggar kod etika berpakaian ketika acara berlangsung.
“Kali ini kita jadi warga yang bertanggungjawab. Nampak je kita tegur. Acara budaya sepatutnya lebih murni dan bertanggungjawab ke atas kelastrian dan keharmonian budaya dan perpaduan.
“Mari kita sama-sama benteras cross dressing!!! Ini acara budaya harus lebih peka,” tulisnya.
Selain daripada itu, Locco turut berkongsi kenyataan yang pihak mereka tidak mahu menghalang pilihan hidup masing-masing.
Bahkan, tujuan mereka berbuat demikian adalah disebabkan mahu mengikut cara hidup dan tatasusila budaya Malaysia.
“Pilihan hidup adalah hak masing-masing, siapa kami untuk menghalang atau menghukum. Cuma yang kami minta kita berpakaian mengikut tatasusila budaya Malaysia, tak susah pun kan,” katanya lagi.
Menerusi kemas kini di media sosial, acara Keretapi Sarong 2025 dijadualkan berlangsung pada 13 September 2025.