“Aina Abdul Ialah Emas Yang Perlu Kita Jaga”

Penyanyi, Noh Salleh, 41, tidak ambil pusing terhadap kecaman dan kritikan yang dilemparkan segelintir pihak terhadap video muzik (MV) lagu Sang Penikam 2026 duet bersama Aina Abdul, yang disifatkan keterlaluan kerana memaparkan visual mengerikan.
Noh berkata, sebagai seorang pengkarya, kepuasan dalam menghasilkan karya menjadi keutamaan buat dirinya berbanding memikirkan pandangan khalayak.
Menurutnya, setiap elemen yang dipaparkan dalam MV berkenaan dihasilkan menerusi perbincangan bersama pengarah bagi memastikan selari dengan konsep lagu yang menjadi runut bunyi drama Cinta Dalam Sekam.
“Semua itu hasil perbincangan bersama pengarah. Kami merancang bagaimana mahu mengindahkan lagu istimewa itu dan mengabadikannya dalam bentuk video muzik.
“Alhamdulillah, hasilnya bagus dan menepati cita rasa saya serta Aina. Dia pun tidak pernah menghasilkan visual ngeri dan ganas sebegitu.
“Rasa-rasanya di Malaysia belum ada lagi video muzik yang menampilkan adegan potong-potong anggota badan seperti itu,” katanya.
Noh berkata, dia tidak melihat kritikan yang diterima sebagai sesuatu yang perlu menghalang mereka daripada berkarya mengikut kreativiti sendiri.
“Pergi mampuslah nak cakap apa, sebab seni kami adalah untuk kami dan bukan untuk menyenangkan hati orang. Kalau asyik mahu puaskan hati orang, memang kita tidak akan bergerak,” katanya.
Dalam pada itu, Noh menyifatkan kolaborasinya bersama Aina menerusi Sang Penikam sebagai antara perkara terbaik yang pernah dilakukannya sepanjang berada dalam industri seni.
Bukan sahaja kagum dengan kemampuan vokal, Noh turut memuji kesungguhan Aina dalam setiap perkara berkaitan kerjaya seninya.
“Dalam banyak-banyak rakan duet, bekerja dengan Aina paling susah. Setiap kali lagu dimainkan, dia sudah masuk zon sendiri.
“Sekarang saya sangat bersyukur dapat berkolaborasi dengannya. Dia memang pelapis penyanyi baharu yang ada jiwa.
“Kalau orang mahu cakap apa saja mengenai Aina, pergi mampuslah. Tetapi sebagai seorang penyanyi, Aina ialah emas yang kita perlu jaga,” katanya.
Lebih menarik, Noh mendedahkan mereka bakal kembali bekerjasama menerusi sebuah lagi lagu baharu yang dirakam minggu depan.
“Maaf Aina, saya terpaksa kantoi sebab terlalu teruja. Sebenarnya minggu depan kami akan merakam sebuah lagi lagu baharu yang boleh dianggap kesinambungan kepada Sang Penikam.
“Lagu itu sama kuat dan dihasilkan oleh Aina, manakala produsernya dari Indonesia, Vega Antares,” katanya.
Sebelum ini, MV Sang Penikam yang dilancarkan pada 23 Ogos lalu mengundang perhatian apabila memaparkan visual ekstrem termasuk babak kepala dipenggal, anggota badan dikerat dan dibakar, selain adegan tembakan berdarah.



