OAG & The Times Satukan Dua Generasi Muzik Alternatif Di Odeon KL

Dua generasi muzik alternatif tempatan bakal bertemu dalam satu pentas apabila OAG dan The Times tampil menerusi Disko Dansa Generasiku di Odeon KL pada 10 Oktober hadapan.
Konsert berkenaan bukan sekadar menemukan dua kumpulan dalam satu persembahan sebaliknya menghimpunkan dua era penting perjalanan muzik alternatif Malaysia yang merentasi lebih tiga dekad.
Vokalis OAG, Radhi, melihat pertemuan bersama The Times sebagai sesuatu yang lebih besar daripada sekadar sebuah konsert.
“Konsert ini bukan sekadar tentang OAG atau The Times, tetapi tentang perjalanan muzik alternatif Malaysia yang saling bersambung dari satu generasi ke generasi yang lain.
“Kami mahu penonton datang bukan sahaja untuk menyanyi bersama, tetapi untuk menghidupkan semula memori dan meraikan muzik yang pernah menjadi sebahagian daripada hidup mereka,” katanya.
Daripada ledakan alternative rock pada era 1990-an hinggalah kebangkitan muzik indie Melayu sekitar pertengahan 2000-an, kedua-dua kumpulan mempunyai sejarah dan hubungan tersendiri dalam membentuk landskap muzik alternatif tempatan.
Ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 1992 dengan nama Old Automatic Garbage, OAG muncul ketika muzik arus perdana Malaysia ketika itu banyak didominasi rock, pop dan balada.
Namun, pendekatan mereka yang menggabungkan alternative rock, gitar fuzzy, melodi pop serta imej tersendiri berjaya mencetuskan identiti yang berbeza.

Album sulung, Old Automatic Garbage, yang diterbitkan pada 1994 memperkenalkan lagu 60’s TV, yang kemudiannya menjadi antara karya paling dikenali kumpulan berkenaan.
Di bawah label Positive Tone, OAG turut menjadi sebahagian daripada gelombang muzik alternatif tempatan yang berjaya menarik perhatian khalayak lebih luas.
Album itu dilaporkan mencapai status triple platinum, manakala OAG turut dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 1996.
Perjalanan muzik mereka kemudiannya berkembang menerusi karya berbahasa Melayu, termasuk lagu Generasiku, yang menjadikan OAG antara kumpulan yang cukup dekat dengan memori muzik generasi 1990-an dan awal 2000-an.
Hubungan antara dua kumpulan itu sebenarnya mempunyai sejarah yang panjang.
Pada awal 2000-an, dua beradik, Naza dan Mono, pernah menjadi sebahagian daripada barisan OAG, masing-masing sebagai gitaris dan pemain bass.
Selepas meninggalkan OAG, kedua-duanya memilih untuk meneroka hala tuju muzik sendiri sebelum menubuhkan The Times pada 31 Ogos 2004.
The Times kemudiannya membina identiti tersendiri dan tidak hadir sebagai sekadar kesinambungan OAG.
Mereka mengadunkan pengaruh British pop, mod, psikedelia dan rock ‘n’ roll dengan sentuhan Melayu yang terserlah menerusi bahasa, humor serta penulisan lagu.
Kini, lebih dua dekad selepas penubuhan The Times, pertemuan semula dengan OAG menerusi Disko Dansa Generasiku dilihat sebagai satu peluang untuk meraikan bukan sahaja karya kedua-dua kumpulan, malah perjalanan muzik alternatif Malaysia yang menghubungkan beberapa generasi.
Konsert di Odeon KL pada 10 Oktober itu dijangka menjadi malam yang sarat dengan nostalgia, lagu-lagu ikonik dan kisah perjalanan dua kumpulan yang pernah mewarnai pentas muzik alternatif tanah air.
Bagi mereka yang ingin turut serta, boleh mendapatkan tiket dengan harga RM139 menerusi www.oagthetimes.com.



