Trending

Jazmy Juma Tak Pernah Angkut Isteri Ke Set Penggambaran

Pelakon, Jazmy Juma, 28, mengakui tidak pernah membawa isterinya, Farah Athirah, ke lokasi penggambaran mahupun majlis berkaitan dunia seni sejak mereka mula berkenalan sehingga kini.

Pemilik nama sebenar Jazmy Khan Juma Khan berkata, dia lebih selesa memisahkan urusan peribadi dan kerjaya bagi memastikan tumpuan terhadap pekerjaan tidak terganggu.

“Tidak pernah (ikut pergi kerja). Dari awal perkenalan kami sehingga sekarang sudah sah menjadi isteri, saya tidak pernah amalkan untuk bawa pasangan ke tempat kerja.

“Paling tidak pun, saya hanya bawa kawan atau pengurus ke set penggambaran kerana saya tidak mahu kerja terganggu dengan urusan peribadi,” katanya.

Bagaimanapun,Jazmy berkata, dia pernah merancang untuk membawa Farah melihat sendiri suasana tempat kerjanya.

Menurut Jazmy, dia mahu isterinya memahami rutin dan tuntutan kerjayanya sebagai seorang pelakon, namun hasrat tersebut masih belum berkesempatan untuk direalisasikan.

Dalam pada itu, Jazmy berkata, perkara berkenaan tidak pernah menjadi isu dalam rumah tangga mereka memandangkan masing-masing sibuk dengan komitmen kerja serta menjadikan kepercayaan sebagai asas dalam hubungan.

Pada masa sama, Jazmy mengakui dirinya masih memerlukan masa untuk membiasakan Farah dengan perhatian dan tumpuan yang diberikan orang ramai terhadap kehidupan mereka.

“Saya akan cuba bawa dia supaya dia biasa dengan khalayak ramai, insya-Allah. Cuma sekarang ini, saya rasa saya sendiri yang belum selesa hendak bawa dia berada di khalayak ramai,” katanya lagi.

Jazmy sah bergelar suami kepada Farah pada 27 Jun lalu.

Related Articles

Back to top button