Lee Seung Gi Gagal Dapatkan Semula Deposit Sewa RM31 Juta, Ambil Tindakan Undang-Undang

Penyanyi dan pelakon Lee Seung Gi gagal mendapatkan semula deposit jeonse (deposit sewaan secara bayaran sekaligus) yang telah dibayarnya.
Pada 6 Ogos, pasukan peguam Lee Seung Gi mengumumkan mereka akan mengambil tindakan undang-undang selepas mendakwa pasangan kepada Cha Ga Won enggan bertanggungjawab memulangkan deposit tersebut.
Peguam Yoon Yong Seok dan Jang Jae Won, yang mewakili Lee Seung Gi, berkata perjanjian sewaan jeonse antara artis itu dan Cha Ga Won telah tamat tempoh pada hari tersebut. Namun, menurut mereka, pihak Cha Ga Won gagal memulangkan deposit sewaan seperti yang dipersetujui dalam kontrak.
Menurut wakil guaman Lee Seung Gi, peguam Cha Ga Won sebelum ini memaklumkan kepada mahkamah bahawa deposit tersebut akan dipulangkan tanpa sebarang masalah.
Bagaimanapun, mereka menyifatkan kenyataan itu sebagai janji kosong selepas pasangan Cha Ga Won mendakwa pada hari pembayaran bahawa deposit itu tidak dapat dipulangkan kerana Cha Ga Won tidak dapat dihubungi.
Pasukan peguam Lee Seung Gi turut berhujah yang pasangan Cha Ga Won selama ini menguruskan kebanyakan urusan perundangan bersama Cha Ga Won, justeru alasan tersebut dianggap tidak bertanggungjawab.
Mereka berkata, Lee Seung Gi sudah membuat persiapan untuk berpindah keluar dari kediaman itu dan kini terpaksa menanggung kerugian kewangan tambahan berkaitan proses perpindahan.
Pasukan guaman itu turut menyuarakan syak wasangka bahawa Cha Ga Won dan pasangannya merancang satu skim penipuan jeonse.
Mereka mendakwa pasangan itu memperdaya seorang selebriti terkenal untuk membuat pinjaman bank dalam jumlah besar bagi membayar deposit jeonse sebelum menyalahgunakan wang tersebut.
Lee Seung Gi menandatangani kontrak jeonse pada tahun 2024 untuk sebuah vila di Hannam-dong, Seoul, yang dimiliki Cha Ga Won dan pasangannya.
Jumlah deposit sewaan itu bernilai 10.5 bilion won (RM30.1 juta), dengan sekitar 7.3 bilion won (RM20.9 juta) dibiayai melalui pinjaman bank.
Sementara itu, Cha Ga Won telah ditahan pada 3 Ogos atas tuduhan penipuan mengikut Akta Hukuman Lebih Berat Bagi Jenayah Ekonomi Tertentu di Korea Selatan.
Mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya kerana bimbang dia mungkin memusnahkan bahan bukti.
Cha Ga Won didakwa menandatangani perjanjian perniagaan dengan syarikat kandungan Nomus, dengan menawarkan beberapa projek yang menggunakan harta intelek artis di bawah One Hundred.
Pendakwa raya mendakwa beliau menerima bayaran pendahuluan sebanyak 24.2 bilion won (RM69.5 juta), namun gagal melaksanakan aktiviti perniagaan seperti yang dijanjikan.
Sumber: Allkpop



