“Bila Dah Kurus, Ada Yang Panggil Saya Roslan Shah”

Pengacara, Maria Tunku Sabri, 55, mengakui tidak terkesan dengan pelbagai komen netizen yang mengkritik penampilannya selepas berjaya menurunkan berat badan menerusi pembedahan bariatrik yang dijalani tahun lalu.
Maria berkata ada segelintir pihak menggelarnya dengan pelbagai nama termasuk menyamakannya dengan personaliti Roslan Shah dan mendakwa wajahnya kelihatan seperti wanita berbangsa Cina kerana tubuhnya kini semakin kurus.
Bagaimanapun, Maria menegaskan dia tidak pernah mengambil hati dengan kata-kata tersebut kerana keputusan menjalani pembedahan itu dibuat demi kesihatannya, bukan untuk memuaskan hati orang lain.
“Tidak kisahlah orang nak cakap apa pun sebab mereka tidak berada di tempat saya. Mereka perlu tahu bahawa sebab bariatrik, saya tidak lagi mengambil ubat kencing manis, darah tinggi dan kolesterol yang diambil sejak 19 tahun lalu.
“Jadi, saya tidak kisah apa orang cakap. Ada yang cakap saya terlalu kurus, seperti mak cik berbangsa Cina dan panggil saya Roslan Shah.
“Paling penting, suami dan anak-anak tahu saya melakukan bariatrik demi kesihatan, ingin hidup sihat, umur panjang serta mahu melihat anak-anak saya berumah tangga,” katanya.
Dalam masa sama, Maria menafikan dakwaan kononnya dia menjalani pembedahan bariatrik semata-mata untuk kelihatan lebih cantik.
Sebaliknya, dia menjelaskan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor kesihatan agar dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti bersama keluarga.
“Saya tidak pernah melakukan pembedahan bariatrik semata-mata ingin kelihatan cantik sebab tidak pernah mengambil pusing soal itu.
“Paling penting adalah sihat supaya saya dapat menjaga suami dan anak-anak serta cucu saya,” ujarnya.
Terdahulu, Maria pernah mendedahkan dia membuat keputusan menjalani pembedahan bariatrik atas nasihat doktor bagi mengurangkan berat badan dan mengawal masalah kesihatan yang dihidapinya.



