Berita

Pemandu E-Hailing Kini Dikenakan Caj RM3 Untuk Ambil Penumpang Di KLIA Terminal 1

Pemandu e-hailing yang mengambil penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 kini dikenakan caj masuk sebanyak RM3.

Malaysia Airports Holdings Bhd memaklumkan bahawa bayaran baharu itu berkuat kuasa hari ini bagi setiap kenderaan e-hailing yang memasuki kawasan pengambilan penumpang yang ditetapkan.

Zon khas pengambilan penumpang e-hailing terletak di Aras 1, Bangunan Terminal Utama KLIA Terminal 1.

Menurut Malaysia Airports, caj tersebut diperkenalkan bagi menyokong operasi serta penyelenggaraan berterusan kemudahan dan sistem yang telah dinaik taraf di kawasan berkenaan.

Pemandu masih diberikan tempoh maksimum 10 minit di kawasan pengambilan di tepi jalan (kerbside pick-up zone).

Mereka yang melebihi had masa tersebut akan dikenakan caj penalti, namun jumlahnya tidak dinyatakan.

Kawasan yang dinaik taraf itu kini dilengkapi dengan sistem pengecaman nombor pendaftaran kenderaan yang dihubungkan dengan sistem paparan maklumat penumpang.

Kemudahan lain yang turut disediakan termasuk kiosk layan diri, ruang menunggu khas untuk penumpang, petak pengambilan yang lebih tersusun serta petugas di lokasi bagi membantu melancarkan operasi.

Menurut Malaysia Airports, sistem baharu itu akan meningkatkan pemantauan dan memastikan hanya kenderaan e-hailing yang dibenarkan menggunakan kemudahan tersebut.

Had masa 10 minit itu juga bertujuan memastikan aliran kenderaan lebih lancar, menyediakan lebih banyak ruang pengambilan kepada pemandu lain serta memberikan pengalaman pengambilan penumpang yang lebih teratur.

Malaysia Airports berkata inisiatif itu dilaksanakan selepas mengadakan perbincangan dengan pengendali e-hailing serta mendapat penyelarasan daripada Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Buat masa ini, penumpang yang menempah perkhidmatan e-hailing dari KLIA Terminal 1 disaran berada di lokasi pengambilan sebelum pemandu tiba bagi mengelakkan kelewatan dan masa menunggu yang tidak perlu.

Related Articles

Back to top button