“Ramai Tak Tahu, Saya Pernah Jumpa Pakar Psikiatri”

Pelakon dan penyanyi Bella Astillah, 33, mendedahkan dirinya pernah mendapatkan bantuan profesional daripada pakar psikiatri dan menjalani beberapa sesi kaunseling ketika melalui antara fasa paling sukar dalam hidupnya kira-kira lapan tahun lalu.
Pemilik nama sebenar Dayang Nabellah Awang Astillah, berkata keputusan untuk mendapatkan bantuan tersebut dibuat demi menjaga kesejahteraan diri, namun perkara itu dipendam daripada pengetahuan umum kerana bimbang menerima pandangan serong masyarakat.
“Sebenarnya tak ramai orang tahu, saya pernah melalui hari yang sangat sukar dan saya memilih untuk jumpa pakar psikiatri.
“Saya pergi ke beberapa sesi kaunseling berseorangan, setiap sesi adalah sejam sehingga sejam setengah.
“Ketika itu saya tidak berkongsi dengan sesiapa mahupun di media sosial. Kadang-kadang orang akan cepat menghukum dan menilai.
“Saya tak mahu bila saya kongsi, nanti spekulasi bertambah,” katanya ketika diundang sebagai tetamu di sebuah majlis.
Menurut Bella, pengalaman tersebut turut mengajarnya bahawa mendapatkan bantuan daripada pakar bukan sesuatu yang perlu dimalukan, malah itu merupakan cara untuk menjaga diri apabila berdepan situasi yang sukar.
Justeru, tunang kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu berharap masyarakat tidak lagi menganggap individu yang mendapatkan rawatan psikiatri sebagai seseorang yang tidak waras.
“Tak semestinya bila jumpa pakar psikiatri, kita tidak waras. Sebenarnya kita sayang pada diri kita. Jangan cepat menilai dan jangan dapatkan bantuan di tempat yang salah.
“Bukanlah bergantung pada manusia, tetapi sebagai manusia kita perlu ikhtiar dan berusaha,” ujarnya lagi.
Bella pada masa sama berharap stigma terhadap rawatan kesihatan mental dapat diubah kerana keberanian untuk mendapatkan bantuan profesional sebenarnya menunjukkan seseorang itu mengambil berat terhadap keadaan dirinya.
Baginya, mendapatkan bantuan yang tepat ketika berdepan kesukaran bukan sesuatu yang wajar dipandang negatif, sebaliknya boleh menjadi satu langkah penting dalam usaha seseorang untuk kembali menjalani kehidupan dengan lebih baik.



