Heechul Dedah Sebab Tinggalkan ‘Knowing Bros’ Selepas 11 Tahun

Anggota Super Junior, Heechul, berkongsi perasaannya mengenai keputusan meninggalkan program hiburan Knowing Bros selepas menjadi salah seorang ahli panel tetap selama 11 tahun.
Menurut Heechul, keputusan meninggalkan program berkenaan disebabkan jadual konsert jelajah Super Junior yang bercanggah dengan sesi penggambar Knowing Bros.
“Tahun lalu, ketika Super Junior mengadakan jelajah sempena ulang tahun ke-20, konsert kami kebanyakannya berlangsung pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Disebabkan itu, ada kalanya saya terpaksa tidak hadir rakaman Knowing Bros pada hari Khamis, atau pasukan produksi perlu membuat rakaman dua kali kerana saya,” katanya menerusi kandungan digital ‘The Universe Star Kim Heechul, Who Almost Became The First Idol To Participate In A Control Diss Battle’ yang dimuat naik di saluran YouTube’Egennam Swings.
Mengenai sebab sebenar dia membuat keputusan itu, Heechul turut menyentuh mengenai pengacara veteran Kang Ho Dong.
Menurutnya, Kang Ho Dong sentiasa mengutamakan penonton.
“Cara pemikiran abang Ho Dong sentiasa meletakkan penonton di tempat pertama. Baginya, walaupun saya penat, patah kaki atau demam, perkara paling penting ialah mengekalkan kepercayaan penonton.
“Selepas mengenali abang Ho Dong, cara saya melihat dunia penyiaran juga banyak berubah.
“Apabila jam menunjukkan pukul 4 pagi, semua orang mula mengantuk. Tetapi abang Ho Dong akan berkata, ‘Tidak. Sekarang memang pukul 4 pagi untuk kita, tetapi bagi penonton, sekarang pukul 6 petang,’” kongsinya.
Heechul menjelaskan, kata-kata itu membuatkan dia sedar bahawa Kang Ho Dong benar-benar mengutamakan pengalaman penonton.
“Saya sedar selepas mendengarnya… memang betul apa yang beliau katakan,” katanya lagi.
Dalam temu bual sama, Heechul turut bercakap secara terbuka mengenai pendapatan Super Junior pada awal kemunculan mereka.
Apabila hos Jang Ji Soo bertanya sama ada pendapatan ketika itu perlu dibahagikan kepada 13 orang anggota, Heechul mengakui keadaan tersebut bukanlah mudah.
“Sejujurnya, setiap kali kami muncul dalam program televisyen ketika itu, kami sebenarnya rugi. Kami memang tidak memperoleh pendapatan lebih tinggi berbanding kumpulan lain tetapi sekurang-kurangnya kami masih mampu menyara kehidupan,” kongsinya.
Sumber: Allkpop



