Berita

Perodua Turunkan Harga Axia Sehingga RM4,700

Berita baik buat rakyat Malaysia yang merancang untuk membeli kereta baharu apabila Perodua mengurangkan harga model Axia sehingga RM4,700.

Menurut Perodua, harga baharu itu berkuat kuasa serta-merta bermula 3 Ogos.

Bagi Semenanjung Malaysia, Axia 1.0G kini dijual pada harga RM33,900, berbanding RM38,600 sebelum ini, sekali gus memberikan penjimatan sebanyak RM4,700 kepada pembeli.

Sementara itu, Axia 1.0X kini berharga RM38,500 selepas dikurangkan sebanyak RM1,500, manakala Axia 1.0SE turun RM1,000 kepada RM43,000.

Bagi varian Axia 1.0AV, harganya kini RM49,000 selepas menerima pengurangan sebanyak RM500.

Pelanggan di Sabah dan Sarawak turut menikmati jumlah penjimatan yang sama.

Harga baharu bagi Axia 1.0G di kedua-dua negeri itu ialah RM35,900, diikuti Axia 1.0X pada RM40,500, Axia 1.0SEpada RM45,000, dan Axia 1.0AV pada RM51,000.

Semua harga yang dinyatakan adalah tidak termasuk insurans.

Perodua memaklumkan bahawa penurunan harga tersebut adalah hasil daripada penambahbaikan proses kerja serta peningkatan kecekapan operasi syarikat.

Walaupun harga diturunkan, Perodua memberi jaminan bahawa spesifikasi serta standard kualiti Axia kekal tidak berubah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk membantu meringankan beban kewangan rakyat Malaysia.

Related Articles

Back to top button