Tengku Permaisuri Selangor Titah Tindakan Tegas Terhadap Pelaku Kekejaman Haiwan

Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, menggesa tindakan lebih tegas diambil terhadap individu yang bertanggungjawab melakukan kekejaman terhadap haiwan, termasuk pegawai dan anggota agensi penguat kuasa.
Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Alam Shah pada 1 Ogos, baginda melahirkan rasa amat dukacita, kecewa dan murka terhadap insiden-insiden kebelakangan ini yang melibatkan kekejaman terhadap haiwan peliharaan dan haiwan terbiar, khususnya anjing dan kucing.
Selaku Penaung Diraja inisiatif Stray Free Selangor yang diuruskan oleh SPCA Selangor, baginda bertitah bahawa perbuatan menyeksa, mencederakan, membunuh atau melayan haiwan secara kejam bukan sahaja menyalahi undang-undang.
Malah, perbuatan sedemikian mencerminkan kegagalan masyarakat dalam menjunjung sifat belas ihsan terhadap makhluk hidup serta nilai kemanusiaan yang menjadi asas kepada sebuah masyarakat bertamadun.
Baginda menegaskan sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan tidak akan diterima atau ditoleransi.
Ketegasan itu terpakai tanpa mengira siapa pelakunya, jawatan yang disandang, bangsa, agama mahupun apa jua alasan yang diberikan bagi mempertahankan perbuatan tersebut.
“Tiada siapa yang kebal di sisi undang-undang,” menurut kenyataan itu.
Baginda turut menegaskan pendirian tersebut melibatkan semua pihak, termasuk individu, organisasi, syarikat, agensi kerajaan dan pihak berkuasa.
Menurut baginda, mana-mana pihak yang didapati melakukan kekejaman terhadap haiwan perlu disiasat secara menyeluruh dan dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.
Ini termasuk kes yang didakwa melibatkan anggota atau pegawai pihak berkuasa sendiri. Baginda bertitah bahawa kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan hanya dapat dikekalkan sekiranya setiap tindakan dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan penuh belas ihsan.
Penguatkuasaan juga tidak seharusnya melibatkan penggunaan kekerasan yang tidak perlu atau tindakan yang menyebabkan haiwan menderita.
Baginda turut menyeru kerajaan, pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan, pertubuhan kebajikan haiwan dan orang ramai agar bekerjasama memperkukuh amalan kebajikan haiwan.
Ini termasuk memastikan usaha menyelamat, merawat, mengurus dan melindungi haiwan dilaksanakan secara berperikemanusiaan.
Baginda juga menyeru agar nilai belas ihsan dijadikan asas kepada setiap dasar dan tindakan yang melibatkan pengurusan haiwan. Menurut baginda, pendidikan, kesedaran awam dan penglibatan masyarakat perlu dipupuk sejak usia muda bagi menggalakkan sikap menyayangi serta menghormati haiwan.
Baginda berharap Selangor dapat menjadi sebuah negeri yang melindungi, menghormati dan memelihara maruah setiap haiwan.
Nilai ‘Compassion. Care. Community’ juga wajar dijadikan panduan dalam usaha membina masyarakat yang lebih prihatin dan berperikemanusiaan. Selain itu, baginda menggesa Kerajaan Persekutuan supaya mengkaji semula hukuman di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Menurut baginda, hukuman terhadap individu yang melakukan kekejaman terhadap haiwan perlu diperketat dan dikuatkuasakan secara lebih konsisten. Baginda turut bertitah bahawa cara seseorang melayan haiwan mencerminkan keperibadiannya sebagai manusia.
Menurut kenyataan itu, masyarakat yang gagal menunjukkan belas ihsan terhadap makhluk paling lemah akhirnya akan kehilangan rasa belas kasihan terhadap sesama manusia.
Baginda menyeru semua pihak agar mengambil iktibar daripada insiden-insiden yang berlaku kebelakangan ini dan bersama-sama memastikan Selangor terus menjunjung nilai belas ihsan, keadilan dan tanggungjawab terhadap seluruh ciptaan Allah.
“Belas kasihan bukan tanda kelemahan. Sebaliknya, keupayaan melindungi makhluk yang paling lemah adalah ukuran sebenar kekuatan, kematangan dan ketamadunan sesebuah masyarakat,” titah baginda.



