Berita

Beego & Linda Hashim Bercerai Kali Ketiga

Selepas melalui pelbagai episod turun naik dalam rumah tangga, pasangan pelakon Beego dan Linda Hashim akhirnya sah bercerai talak satu buat kali ketiga di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Lafaz cerai itu dibuat oleh Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 46, di hadapan Hakim Syarie Mohammad Radzi Sadiman selepas kedua-dua pihak bersetuju menamatkan perkahwinan mereka secara baik.

Peguam syarie yang mewakili Beego, Muhammad Akmal Amzan menjelaskan, sebelum lafaz cerai dibuat, mahkamah terlebih dahulu memutuskan bahawa permohonan pengesahan lafaz taklik yang difailkan Linda tidak berjaya dibuktikan.

Menurutnya, Linda pada asalnya memfailkan dua permohonan berasingan iaitu tuntutan perceraian dan pengesahan lafaz taklik.

Muhammad Akmal turut menjelaskan perceraian kali ini menjadikan kedua-dua mereka tidak lagi boleh rujuk kerana sebelum ini pasangan berkenaan sudah dua kali bercerai dan kembali rujuk.

Menurutnya lagi, pasangan itu turut mengambil kesempatan untuk saling bermaafan selepas prosiding selesai.

Jelasnya, keputusan untuk berpisah sebenarnya sudah dipersetujui oleh kedua-dua pihak sejak tahun lalu, namun proses itu terpaksa ditangguhkan sementara bagi memberi laluan kepada perbicaraan berkaitan dakwaan lafaz taklik.

Rumah tangga Beego dan Linda mula menjadi perhatian sejak Januari tahun lalu apabila Linda memfailkan permohonan cerai atas alasan tiada lagi persefahaman.

Pasangan itu sebelum ini pernah bercerai talak satu pada 27 Mac 2023 sebelum kembali rujuk pada 9 April tahun yang sama. Linda kemudiannya menarik balik tuntutan nafkah serta hak penjagaan tiga cahaya mata mereka.

Linda turut mendedahkan mereka sekali lagi bercerai beberapa bulan selepas rujuk sebelum memilih untuk kembali bersama.

Untuk rekod, Beego dan Linda mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan itu dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 12, Anggun Cassandra, 11, dan Indah Camelia, 7.

Related Articles

Back to top button