FFM35 Perkenal Sistem Penjurian Baharu, Bekas Pemenang Akan Tentukan Juara

Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-35 bakal memperkenalkan sistem penjurian baharu yang disifatkan lebih telus apabila pemilihan pemenang tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada panel juri profesional, sebaliknya turut melibatkan bekas pemenang anugerah berprestij itu.
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac berkata, mekanisme baharu itu dilaksanakan menerusi dua peringkat bagi memastikan setiap keputusan dibuat secara adil, telus dan berintegriti.
Menurutnya, peringkat pertama melibatkan panel juri profesional yang dipilih secara sulit oleh jawatankuasa khas bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan.
“Malah, ada kalanya ahli perbadanan sendiri tidak mengetahui identiti barisan juri bagi memastikan proses penilaian berlangsung secara telus dan berintegriti.
“Fasa kedua pula menggunakan sistem pautan (link system) apabila seramai 100 hingga 150 pemenang FFM terdahulu akan diberikan helaian pemarkahan (score sheet) bagi menilai filem, pelakon dan calon terbaik,” katanya.
Hans berkata, sistem baharu itu memberi lebih banyak peranan kepada penggiat industri dalam menentukan pemenang, sekali gus menjadikan keputusan lebih mencerminkan pandangan komuniti perfileman sendiri.
“Kita menetapkan 70 peratus markah datang daripada undian pemenang-pemenang FFM terdahulu bagi kategori lima terbaik, manakala baki 30 peratus adalah daripada panel juri profesional.
“Kita mahu industri sendiri menentukan siapa yang terbaik dalam kalangan mereka,” ujarnya lagi.

Tambah Hans, idea untuk memperkenalkan kaedah penjurian itu tercetus hasil cadangan pelakon Bront Palarae yang berkongsi model penilaian digunakan di beberapa festival filem antarabangsa sebelum dibincangkan di peringkat FINAS.
Menurutnya, pendekatan berkenaan juga merupakan satu bentuk penghargaan kepada penggiat seni yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan industri perfileman negara.
“Sebagai orang lama dalam industri, saya sendiri akan berasa terharu jika FINAS meminta pandangan saya untuk menilai karya rakan-rakan seni. Ia menunjukkan sumbangan kita dihargai.
“Sudah tiba masanya FINAS tidak lagi dilihat sebagai pihak yang menentukan segala-galanya secara mutlak. Sebaliknya, kita mahu lebih proaktif dengan mendengar pandangan persatuan seperti PFM, FDAM dan SENIMAN.
“Jika kita mahu industri filem negara mencapai tahap seperti Oscars, kita perlu bermula dengan meletakkan kepercayaan kepada penggiat industri sendiri,” kongsinya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib memaklumkan FFM35 turut beralih kepada sistem penjurian digital sepenuhnya tanpa penggunaan kertas, selain setiap keputusan akan dipantau oleh badan audit bebas.
“Setiap tahun memang ada helaian pemarkahan, namun kali ini kita menambah baik kriteria penilaian serta memperluaskan penglibatan pemain industri.
“Keputusan penjurian juga akan diaudit oleh badan bebas bagi memastikan proses berlangsung secara telus dan bebas daripada sebarang keraguan,” katanya.
Malam Anugerah Festival Filem Malaysia Ke-35 dijadual berlangsung pada 21 November depan di Panggung Sari, Istana Budaya.
Penyertaan bagi edisi kali ini dibuka bermula 29 Julai hingga 11 Ogos, manakala filem yang layak dipertandingkan ialah karya yang ditayangkan sepanjang tempoh 1 Julai tahun lalu hingga 30 Jun tahun ini.
Foto FINAS Malaysia



