Global

Nam Joo Hyuk Derma Lagi, Jumlah Sumbangan Kini Cecah RM1.4 Juta

Pelakon Nam Joo Hyuk sekali lagi menunjukkan sifat pemurahnya apabila menyumbangkan 100 juta won (RM280,253) (kira-kira AS$70,000) bagi membantu pesakit kanak-kanak.

Menerusi sumbangan terbaharu ini, jumlah keseluruhan sumbangannya kepada sebuah hospital kini mencecah 500 juta KRW (RM1.4 juta).

Pada 24 Julai lalu, agensi Nam Joo Hyuk, Fable Company, bersama Pusat Perubatan Seoul Asan mengumumkan bahawa pelakon itu membuat sumbangan bagi menambah baik persekitaran perubatan di Hospital Kanak-Kanak Seoul Asan serta menyokong pesakit muda yang menerima rawatan di situ.

Termasuk sumbangan terbaharu ini, Nam Joo Hyuk telah menyumbangkan keseluruhan 500 juta won (RM1.4 juta) kepada Pusat Perubatan Seoul Asan.

Dana tersebut akan digunakan untuk pelbagai inisiatif di Hospital Kanak-Kanak, termasuk menaik taraf kemudahan rawatan dan memperbaiki persekitaran perubatan bagi pesakit kanak-kanak serta remaja.

Ia turut menyokong penyelidikan dan latihan kakitangan perubatan, program rawatan di rumah serta penjagaan paliatif untuk kanak-kanak yang menghidap penyakit kritikal, selain program sokongan emosi dan penjagaan bersepadu bagi membantu memberikan kestabilan psikologi kepada pesakit muda dan keluarga mereka.

Nam Joo Hyuk konsisten dengan kerja-kerja amal sejak tahun 2018. Terinspirasi daripada pengalamannya sendiri yang pernah menerima bantuan biasiswa ketika zaman persekolahan sehingga membolehkannya mengejar impian, beliau sebelum ini menyumbangkan 30 juta won (RM84,076) dalam bentuk biasiswa kepada sekolah lamanya, Suwon Suil High School.

Beliau juga pernah menghulurkan sumbangan bagi membantu mangsa kebakaran hutan yang dahsyat di Korea Selatan serta terus menyokong pelbagai inisiatif kebajikan yang memerlukan bantuan.

Menurut agensinya, komitmen Nam Joo Hyuk yang berterusan dalam membantu kanak-kanak mencerminkan keikhlasan beliau terhadap kerja-kerja kebajikan dan bukan sekadar sumbangan sekali sahaja.

Related Articles

Back to top button