Trending

Harissa Adlynn Pernah Dipikat Pelakon Lelaki Berstatus Kekasih Orang

Pelakon, Harissa Adlynn, 22, mengakui pernah berdepan pengalaman kurang menyenangkan apabila dipikat seorang pelakon lelaki yang ketika itu sudah mempunyai teman wanita sewaktu mereka menjalani penggambaran sebuah drama beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, Harissa berkata, dia memilih untuk tidak melayan tindakan tersebut dan sentiasa meletakkan batasan bagi mengelakkan sebarang salah faham atau kontroversi yang boleh menjejaskan kerjayanya.

Menurutnya, situasi seperti itu bukan lagi sesuatu yang luar biasa dalam industri hiburan, malah berlaku di mana-mana termasuk di luar negara.

“Perkara ini memang sudah jadi normal walaupun hakikatnya ia tidak sepatutnya berlaku. Bukan di Malaysia sahaja, malah di luar negara pun sama.

“Saya rasa menjadi tanggungjawab saya untuk menghentikan perkara itu daripada berlaku.

“Mungkin ada segelintir pelakon yang tidak meletakkan batasan, tetapi saya lebih selesa buat hal sendiri atau duduk bersama pengurus ketika berada di lokasi penggambaran,” katanya.

Berkongsi mengenai pengalaman bekerjasama dengan rakan artis, Harissa menyifatkan aktor Keith Foo antara pelakon paling profesional pernah menjadi gandingannya.

Katanya, walaupun mereka mempunyai keserasian di hadapan kamera, hubungan mereka kekal profesional sebaik sahaja penggambaran tamat.

“Keith Foo antara rakan pelakon paling profesional pernah saya bekerjasama. Kami memang serasi ketika berlakon, tetapi apabila pengarah sebut ‘cut’, kami akan duduk berasingan, tidak makan bersama dan jarang berbual.

“Itulah yang membuatkan kami saling menghormati. Saya juga berharap dapat bekerjasama dengannya lagi jika diberi peluang,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai pelakon yang cuba mendekatinya, Harissa menegaskan dia hanya bersikap mesra sebagai rakan sekerja tanpa memberi sebarang harapan atau isyarat yang boleh disalah tafsir.

“Layanan saya hanya sekadar ramah seperti biasa, tetapi tidak sampai membuatkan dia fikir saya ada perasaan terhadapnya. Saya memang langsung tidak menyukainya.

“Perkara seperti ini boleh menjejaskan kerjaya dan nama baik saya. Saya sudah bekerja keras untuk membina reputasi serta menjaga nama baik keluarga. Kalau ada yang cuba merosakkannya, sudah tentu saya akan marah,” kongsinya.

Dalam masa, Harissa turut mengulas mengenai fenomena cinta lokasi yang sering dikaitkan dengan dunia lakonan.

Menurut Harissa, dia memahami jika ada pelakon yang mula menyimpan perasaan selepas kerap bertemu di lokasi penggambaran, namun menegaskan perkara peribadi tidak sepatutnya mengganggu urusan kerja.

“Bila kita berjumpa orang yang sama setiap hari, mungkin akan timbul perasaan bagi sesetengah individu.

“Kita tidak boleh menghalang seseorang daripada mempunyai perasaan, tetapi kalau tindakan mereka membuatkan saya tidak selesa, menjadi tanggungjawab saya untuk menghentikannya sebelum jadi serius,” katanya.

Related Articles

Back to top button