Concert

Atilia Terharu Peminat Sanggup Hulur RM20,000 Untuk Jayakan Konsert

Penyanyi, Atilia Haron, 52, terharu dengan sokongan luar biasa daripada peminat setianya apabila sepasang suami isteri sanggup menghulurkan RM20,000 bagi membantu menjayakan konsert solo Atilia Haron In Concert yang bakal berlangsung di Robert’s Theatre, The Campus Ampang pada 19 September ini.

Menurut Atilia, pasangan tersebut pada asalnya berhasrat membeli tujuh keping tiket konsert, namun akhirnya memilih untuk menyumbangkan wang berjumlah RM20,000 sebagai tanda sokongan terhadap perjalanan seninya.

“Peminat itu bertanya mahu duduk di mana. Saya kata, duduk atas pentas pun boleh. Saya tidak mempunyai peminat yang ramai, tetapi mereka yang ada sangat setia. Kesetiaan mereka membuatkan saya rasa mahu terus mengadakan konsert.

“Mana ada peminat seperti itu? Masya-Allah, saya sangat menghargai individu seperti ini kerana mereka benar-benar menghargai saya,” katanya.

Tambah Atilia, sokongan yang diterimanya amat bermakna memandangkan bukan mudah untuk mendapatkan penaja bagi menganjurkan sebuah konsert, lebih-lebih lagi sebagai penyanyi yang bergerak secara bebas.

Atilia berkata, pengalaman menganjurkan konsert Gelombang Bahagia bersama ibunya, Salamiah Hassan sebelum ini banyak mengajarnya tentang cabaran sebenar dalam menganjurkan persembahan berskala besar apabila mereka terpaksa menanggung sendiri keseluruhan kos penganjuran.

“Mama pernah berpesan supaya jangan rugi. Ketika konsert Gelombang Bahagia, kami tidak mempunyai penaja, jadi semuanya saya tanggung sendiri.

“Saya membelanjakan wang yang banyak, tetapi saya tidak mahu menggunakan duit Mama kerana impian saya memang mahu berkongsi pentas dengannya.

“Kali ini Mama juga risau. Apabila ada penaja dan sokongan daripada peminat, saya benar-benar terharu,” katanya.

Tambah Atilia, kehadiran peminat setia yang sentiasa menyokong kerjayanya sejak dahulu menjadi pembakar semangat untuk memberikan persembahan terbaik pada malam konsert nanti.

“Saya sangat berbesar hati. Pasangan itu hadir ke hampir setiap persembahan saya sejak dahulu. Isterinya pun datang bertongkat.

“Sebab itu saya mahu memberikan yang terbaik dalam konsert ini sebagai tanda penghargaan kepada semua peminat yang sentiasa bersama saya,” katanya.

Atilia Haron In Concert berdurasi 90 minit itu akan menampilkan lebih 40 buah lagu daripada katalog muzik Atilia menerusi susunan baharu, karya terkini serta beberapa persembahan duet istimewa yang mencerminkan sisi peribadi dan kreatifnya.

Lebih istimewa, kumpulan terkenal dari Indonesia, Sore Ze Band akan tampil sebagai artis jemputan dan turut memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju artistik persembahan tersebut.

Related Articles

Back to top button