BIGBANG Rai Ulang Tahun Ke-20 Dengan Acara Percuma Di Seoul Sebelum Jelajah Dunia

Ikon K-Pop, BIGBANG, bakal meraikan ulang tahun ke-20 sejak debut menerusi sebuah acara istimewa percuma untuk peminat yang dianjurkan oleh Coupang Play.
Acara yang diberi nama Coupang Play X BIGBANG 20th Anniversary X Han River Collaboration itu akan berlangsung pada 19 Ogos, jam 8 malam (KST) di Water Light Stage, Taman Sungai Han Yeouido, Seoul.
Kolaborasi khas ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada peminat atas sokongan berterusan mereka, khususnya menjelang jelajah dunia BIGBANG yang dinanti-nantikan.
Para peminat bakal dibawa mengimbau perjalanan dua dekad BIGBANG menerusi pelbagai pengisian menarik.
Antaranya termasuk persembahan DJ yang mengolah semula lagu-lagu hit ikonik BIGBANG serta tayangan video khas yang merakam sejarah dan perjalanan kerjaya kumpulan itu sepanjang 20 tahun.
Penganjur turut menjanjikan pengalaman visual yang menghidupkan semula ‘BIGBANG universe’ menerusi paparan seni media yang digabungkan dengan alunan muzik orkestra berskala besar.
Kemuncak acara akan diserikan dengan pertunjukan dron berskala besar serta pertunjukan bunga api yang bakal menerangi langit Sungai Han.
Semua tempat duduk bagi acara ulang tahun ini ditawarkan secara percuma.
Tempahan tiket akan dibuka pada 28 Julai, jam 7 malam (waktu Korea Selatan) dan hanya boleh dibuat menerusi aplikasi mudah alih Coupang Play.
Bagaimanapun, hanya ahli Coupang Wow layak membuat tempahan, dengan bayaran tempahan standard dikenakan.
Bagi mengelakkan penipuan, Coupang Play turut melaksanakan langkah keselamatan termasuk pengesahan identiti ketika kemasukan serta menyediakan saluran khas untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan.
Acara khas ini diadakan sebagai pembuka tirai sebelum konsert ‘Coupang Play Presents BIGBANG 2026–2027 WORLD TOUR [XX : COSMOS] In Goyang’ yang akan berlangsung dari 21 hingga 23 Ogos.
Konsert di Goyang itu turut membuktikan populariti BIGBANG yang masih kukuh apabila tiket habis dijual dalam tempoh singkat.
Malah, jualan umum pertama mencatatkan lebih 210,000 pengguna beratur secara serentak untuk mendapatkan tiket, sekali gus membuktikan pengaruh besar BIGBANG di peringkat global.



