Sedekad Menunggu, ‘Pertama’ Tentang Cerita, Pengalaman & Keberanian Syamel

Selepas sedekad membina nama dalam industri muzik, penyanyi Syamel akhirnya merealisasikan impian yang tertangguh apabila melancarkan album sulung berjudul Pertama baru-baru ini.
Lebih bermakna, album yang memuatkan enam lagu itu bukan sekadar menjadi penanda aras baharu dalam kerjayanya, sebaliknya disifatkan sebagai karya terbaik yang pernah dihasilkannya sepanjang 10 tahun bergelar anak seni.
Bagi Syamel, dia sengaja tidak tergesa-gesa menghasilkan album kerana mahu memastikan setiap karya yang dimuatkan benar-benar lahir daripada pengalaman, kematangan dan perjalanan hidupnya sendiri.
“Selepas 10 tahun berada dalam industri, akhirnya saya dapat mempersembahkan album pertama saya. Saya tidak mahu menghasilkan album hanya kerana merasakan sudah tiba masanya.
“Saya mahu menunggu sehingga saya benar-benar mempunyai cerita, pengalaman dan keberanian untuk menghasilkan sebuah album yang terasa jujur kepada diri saya,” katanya.
Menurut Syamel, judul Pertama membawa dua makna besar. Selain menjadi album sulungnya, ia turut melambangkan keberanian untuk memulakan semula kehidupan selepas melalui kegagalan, kehilangan dan pelbagai episod mengecewakan.
Album itu turut dianggap sebagai hadiah istimewa buat peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan seninya sejak dia mula mencipta nama.

Lebih menarik, Syamel menyusun enam lagu dalam album itu seperti sebuah buku yang mempunyai enam bab, dengan setiap lagu membawa emosi dan warna berbeza sebelum bersatu membentuk sebuah perjalanan yang lengkap.
Album berkenaan memuatkan lagu Beribu Tanda Tanya, Cukup Sekali, Aku Bukan Dia, Dalam Kenangan, Tunjukkan Ku Bahagia dan Pertama.
Bagi memastikan identiti muziknya terus kekal utuh, Syamel bergandingan dengan beberapa nama besar industri termasuk Edry Abdul Halim, Aizat Amdan, Mel Ramlan, Yusuff Khan dan Adam Armin.
Malah, dia sendiri terbabit dalam proses penulisan serta penciptaan tiga lagu iaitu Cukup Sekali, Dalam Kenangan dan Aku Bukan Dia.
“Saya mahu menghasilkan lagu yang orang akan kembali dengar walaupun bertahun-tahun kemudian. Lagu yang bukan sekadar mengikut trend, tetapi mempunyai nilai dan emosi yang kekal relevan,” katanya.
Walaupun sebahagian besar lagu diinspirasikan daripada pengalaman peribadi, Syamel berkata, album itu turut mengangkat kisah individu di sekelilingnya kerana percaya perasaan seperti kehilangan, kerinduan, harapan dan kekecewaan adalah sesuatu yang bersifat universal.
“Kalau ada satu lagu dalam album ini yang mampu menemani seseorang ketika dia berada di saat paling sukar dalam hidup, itu sudah cukup bermakna buat saya. Itulah tujuan saya menghasilkan album ini,” katanya.



